Arkib Tag: pengecasan ultra pantas

Flash Charging: pengecasan ultra pantas milik BYD, ini 5 perkara yang perlu anda tahu

Berita baik! BYD Malaysia bakal membawakan teknologi pengecasan ultra pantasnya, iaitu Flash Charging ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

Pelaksanaan awal akan lebih tertumpu kepada pemasangan kemudahan tersebut di bilik pameran dan pusat servis terpilih, sebelum diperluaskan ke lokasi strategik untuk kegunaan awam.

Malaysia dijangka akan menjadi antara yang terawal di Asia Tenggara yang menerima teknologi pengecasan ultra pantas ini.

Pengecasan megawatt

Flash Charging ini mampu menyalurkan kuasa pengecasan sehingga 1,500 kW atau 1.5 megawatt.

Ia beroperasi menggunakan senibina elektrik 1,000V bersama arus pengecasan 1,000 ampere untuk mencapai kadar pengecasan 10C.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem storan tenaga bersepadu (BESS) untuk memastikan aliran tenaga yang lebih stabil tanpa membebankan sistem grid setempat.

Tiga angka ajaib

Berbanding teknologi pengecasan sedia ada, BYD menjanjikan tiga angka ‘ajaib’, iaitu 5, 9 dan 12.

Apa maknanya?

  • 5 – pengecasan 5 minit dari 10-70% State of Charging (SoC)
  • 9 – pengecasan 9 minit dari 10-97% SoC
  • 12 – pengecasan 12 minit dari 20-97% SoC dalam suhu sejuk ekstrem (-30°C)

Disebabkan julat suhu operasi yang agak besar, sistem Flash Charging ini mampu mengekalkan prestasi kepantasan pengecasan secara konsisten tanpa perlu membuatkan pemilik menunggu dengan lebih lama.

Kemudahan mesra pengguna

Flash Charging mudah untuk dikenali berdasarkan ciri berikut:

  • rekaan tiang berbentuk T
  • kabel pengecasan sejukan cecair yang tergantung atas kepala
  • nozel pengecasan 2 kg graviti sifar yang lebih kompak saiznya

Konfigurasi di atas membolehkan operasi pengecasan dilakukan dengan mudah tanpa perlu pemandu mengalihkan kedudukan kenderaan.

Serasi dengan bateri Blade generasi kedua

Pengecasan ultra pantas terbaharu ini serasi dengan sistem bateri Blade generasi kedua yang baru diperkenalkan oleh BYD.

Disamping menyokong pengecasan pantas, BYD turut meningkatkan kadar ketumpatan tenaga sebanyak 5% berbanding bateri generasi pertama.

Blade Battery 2.0 ini tersedia untuk beberapa model termasuklah daripada subjenama YangWang dan Denza, dengan jarak pemanduan mencecah 1,036 km.

Sasar 20,000 stesen menjelang akhir 2026

BYD merancang untuk mendirikan 20,000 stesen pengecasan Flash Charging ini di seluruh China menjelang akhir 2026.

Ia juga bakal diperluaskan ke peringkat global dan bakal muncul di pasaran Malaysia secara berperingkat.