Arkib Tag: pengarah urusan

BYD Malaysia lantik Jacob Ma selaku Pengarah Urusan baharu ganti Eagle Zhao

BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Jacob Ma sebagai Pengarah Urusan baharu yang akan mengawasi kedua-dua jenama BYD dan Denza.

Beliau menggantikan Eagle Zhao yang akan menggalas jawatan Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia.

Legasi kukuh Eagle Zhao

Eagle Zhao meninggalkan legasi kukuh selepas memacu pertumbuhan pesat BYD dan DENZA di Malaysia.

Sepanjang tempoh beliau menerajui operasi tempatan, lebih 30,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, selain memperluaskan rangkaian pengedar, meningkatkan keupayaan selepas jualan dan mempercepatkan penerimaan kenderaan tenaga baharu di negara ini.

Usaha tersebut menjadikan BYD antara jenama EV yang berkembang paling pantas di Malaysia.

Eagle menyifatkan Malaysia sebagai “bab yang amat bermakna” dalam perjalanan kerjayanya dan yakin momentum yang dibina akan terus mengukuhkan kedua-dua jenama.

Jacob Ma bawa pengalaman antarabangsa

Mengisi kekosongan tersebut, Jacob Ma membawa pengalaman antarabangsa dari ibu pejabat BYD di Shenzhen.

Beliau sebelum ini mengetuai Unit Latihan BYD selama lima tahun dan kemudian berkhidmat sebagai Naib Presiden PT BYD Motor Indonesia selama dua tahun.

Jacob mempunyai latar belakang dalam pembangunan bakat, penyelarasan organisasi serta pengalaman awal dalam industri penerbangan, termasuk projek pemindahan teknologi.

Kepakaran ini dijangka membantu BYD Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.

Jacob menegaskan komitmen BYD untuk terus memperkenalkan produk inovatif, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan pertumbuhan mampan bagi BYD dan DENZA di Malaysia.

Fokus kepimpinan baharu

Sebagai Pengarah Urusan, Jacob akan mengetuai strategi menyeluruh merangkumi:

  • Jualan dan pemasaran
  • Pembangunan rangkaian pengedar
  • Operasi selepas jualan
  • Pengukuhan pembezaan jenama BYD dan DENZA
  • Pengembangan portfolio produk untuk kekal kompetitif

Narushi Yazaki kini Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia

Honda Malaysia mengumumkan pelantikan Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 April 2025.

Narushi Yazaki menggantikan peranan Hironobu Yoshimura yang telah menerajui Honda Malaysia sejak tiga tahun lepas, di mana beliau kini berkhidmat di ibu pejabat Honda di Tokyo.

Menurut Honda Malaysia, Yazaki mempunyai pengalaman lebih 25 tahun, dengan memegang peranan kepimpinan utama di beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand.

Sebelum berkhidmat di Malaysia, Yazaki telah berkhidmat dengan Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co. Ltd, Tokyo, Jepun.

“Saya amat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini di Honda Malaysia, pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik serta sumbangan yang penting terhadap jenama Honda di rantau Asia dan Oceania.

“Saya berazam untuk meneruskan asas kukuh yang diletakkan oleh pemimpin terdahulu, dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia dalam pasaran berkembang pesat ini,” ujarnya.

Di bawah kepimpinan Yoshimura, beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Honda Malaysia di dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk 11 tahun berturut-turut.

Beliau juga bertanggungjawab memimpin Honda Malaysia mengharungi tempoh mencabar pasca pandemik COVID-19.

 

Honda Malaysia Sdn Bhd terima pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif wanita pertama

HONDA Malaysia Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali diterajui oleh seorang wanita.

Madako Chujo dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif selepas bersama Honda selama lebih 23 tahun.

Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan menyambut baik pelantikan Chujo sekaligus yakin dengan kemampuannya untuk membawa syarikat itu ke tahap lebih tinggi.

“Honda Malaysia Sdn Bhd menyambut baik pelantikan Chujo yang juga buat julung kali menyaksikan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi syarikat,” memetik kenyataan itu, hari ini.

Sebelum ini, Chujo pernah memegang pelbagai jawatan melibatkan beberapa wilayah dan negara termasuk China, Sepanyol dan Kanada.

Pelantikan Chujo berkuatkuasa pada 1 April lalu menggantikan penyandangnya, Toichi Ishiyama.