Arkib Tag: Parlimen

Kerajaan cadang pasang CCTV, sensor dalam kenderaan ujian memandu

KERAJAAN sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan mengaplikasikan penggunaan sensor dalam ujian memandu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia akan menambah baik proses pembelajaran dan meningkatkan tahap integriti pengujian.

Jelas Wee, kenderaan ujiuan memandu juga berkemungkinan akan dipasang kamera keselamatan litar tertutup (CCTV).

“Kalau seseorang itu mengambil ujian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kita akan masukkan mereka dalam kenderaan tersebut yang ada CCTV.

“Sensor juga akan diletakkan dalam kenderaan yang sedang jalankan pengujian ini,” katanya.

Terdahulu, Wee menjelaskan bahawa pihaknya amat menitikberatkan soal integriti melibatkan pihak berkuasa ketika menjalankan ujian memandu.

“Apabila di litar, semua tiang parkir akan dipasang dengan kamera dan sensor untuk melihat macam mana soal integriti yang dipersoalkan sebelum ini,” katanya lagi.

Sementara itu, kerajaan bersetuju melanjutkan temnpoh Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Januari lepas sehingga 30 Jun 2022.

Ia dijangka membantu lebih 462,000 calon tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen akibat penutupan operasi institut memandu berikutan Covid-19.

Perlanjutan tempoh itu membolehkan institusi memandu mengaturkan ujian untuk semua calon dengan JPJ dan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.