Arkib Tag: panel solar

100 stesen minyak Petron Malaysia akan dilengkapi sistem solar PV

Petron Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Progressture Renewables Sdn Bhd (Progressture Solar).

Di bawah kerjasama jangka panjang ini, sebanyak 100 stesen minyak Petron di seluruh negara akan dilengkapi dengan panel solar fotovoltaik (PV).

Sepanjang tempoh kontrak, Progressture Solar akan memiliki, mengurus dan menyelenggara operasi aset sistem panel solar yang dipasang.

Apabila siap sepenuhnya, sistem panel solar ini dijangka akan:

  • Menjana sehingga 3,321 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun, bersamaan tenaga untuk kira-kira 953 isi rumah di Malaysia dalam tempoh setahun.
  • Mengurangkan sehingga 2,517 tan pelepasan karbon setiap tahun, bersamaan pelepasan karbon daripada kira-kira 587 buah kereta atau menanam 62,933 pokok setiap tahun.
  • Menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 62,925 tan sepanjang kitar hayat projek.

Menurut Mohd Nizam Mansor selaku Pengurus Besar Petron Malaysia berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk mengintegrasikan kelestarian dalam setiap aspek operasi kami.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perjalanan Petron dalam menyokong sasaran Karbon Sifar Bersih 2050 Malaysia, di samping menambah bekalan tenaga kepada operasi kami secara lebih bersih dan berdaya tahan,” ujarnya.

Ng Yew Weng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Progressture Solar berkata, “Sebagai rakan tenaga bersih terkemuka, kami percaya kerjasama ini menandakan satu kemajuan penting bagi industri bahan api runcit.

“Ia menunjukkan bagaimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu memberikan impak operasi sebenar sambil menyokong usaha penyahkarbonan Petron serta perjalanan Malaysia ke arah sifar bersih.”

Lelaki ini DIY panel solar untuk Tesla Model Y, jemur 5 jam boleh tambah jarak 32 km

Jika anda seorang pemilik kereta elektrik Tesla, dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses fasiliti pengecasan yang mencukupi, hidup anda tidak akan berdepan dengan masalah.

Namun, sekiranya anda bermati-matian mahu menjadi seorang pemilik Tesla yang duduk di kawasan luar bandar, ini merupakan satu solusi yang mungkin berkesan.

 

Seorang pemilik Tesla Model Y yang juga pemilik syarikat DartSolar di Amerika Syarikat sedang membangunkan panel solar untuk dipasangkan pada model EVnya.

Terdapat sehingga sembilan panel solar 175 watt yang dipasangkan pada bahagian atas bumbung, dengan keluasan menyamai saiz tipikal petak parkir di USA.

Setiap panel solar itu dihubungkan menerusi tiub teleskopik gentian karbon, dan boleh dilipat kembali apabila tidak digunakan.

 

 

Menurut laporan, dengan berjemur di bawah sinar matahari selama lima jam mampu menambah jarak gerak sejauh 32 km, dengan berat keseluruhan tetapan tersebut tidak mencapai 75 kg.

DartSolar juga kini sedang membangunkan unit prototaip kedua yang menggantikan peranan komponen kayu kepada gentian karbon, dengan kos sekitar $4,000 (~RM18,870) apabila sedia untuk diproduksikan.