Arkib Tag: pandu uji ringkas

Leapmotor B10 kekal minimalis namun lebih matang – pandu uji ringkas

Leapmotor B10 merupakan pendatang baharu bagi mencabar SUV elektrik di bawah julat harga RM120,000 di Malaysia.

Dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun lepas, model kedua Leapmotor Malaysia ini dilihat hadir pada masa yang tepat.

Pertama, ia mampu menjadi alternatif yang lebih masuk akal berbanding abangnya C10.

Kedua, di sebalik rupa bentuk ringkas itu tersembunyi kelebihan yang sukar untuk ditandingi oleh pesaingnya.

Terima kasih kepada pihak Stellantis Malaysia, kerana sepanjang tempoh pemanduan singkat kali ini penulis berjaya menemukan beberapa perkara positif pada model baharu B10 ini.

Luaran

Sama seperti C10, Leapmotor B10 membawakan reka bentuk yang sama minimalis menyumbang kepada angka pekali seretan serendah 0.265 Cd.

Elemen rekaan Wing Star menjadi identiti utama B10 terutama pada bahagian lampu depan dan belakang yang nipis.

Sayang sekali, B10 masih lagi mengekalkan rekaan pemegang pintu perlu ditolak keluar secara manual.

Mujur juga butang suis pintu tailgate direka untuk memudahkan urusan memunggah masuk barangan.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi saiz 18 inci yang dibaluti getah Linglong Sport Master yang mampu membuatkan pemandu tersenyum di selekoh.

Terdapat sehingga lima warna pilihan disediakan termasuklah Starry Night Blue yang diinspirasikan daripada karya Van Gogh, Dawn Purple dan Tundra Grey.

Kabin

Untuk pemandu disediakan skrin LCD 8.8 inci yang dipasang terus atas kolum stereng.

Bermakna, posisinya akan berubah mengikut larasan (tilt & teleskopik) yang ditetapkan oleh pemandu.

Segala kawalan fungsi yang penting (termasuklah larasan cermin sisi) masih lagi ditanam dalam skrin tengah sebesar 14.6 inci.

Apa yang pasti, pemilik B10 sudah boleh menggunakan fungsi sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Praktikaliti

Berbanding model C10 yang nampak lebih ringkas dan premium, kabin B10 pula lebih bersifat utilitarian.

Apa yang penulis gemar pada B10 ini ialah:

  • corong pendingin hawa yang lebih mudah untuk dilaras
  • konsol tengah terapung yang menyediakan ruang besar untuk beg
  • pemegang cawan yang boleh dilipat bila tidak digunakan
  • ruang storan konsol tengah yang agak dalam
  • glovebox 8.5 liter yang boleh memuatkan laptop 14 inci

Dengan balutan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 yang diperbuat daripada bahan arang buluh, Leapmotor B10 juga amat sesuai untuk keluarga yang ada anak kecil.

Ruang kargo adalah sebesar 430 liter dan boleh mencecah sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Dengan ruang yang versatil, hampir 88 peratus ruang kabin B10 boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pemanduan

Secara standard, Leapmotor B10 ini dilengkapi dengan:

  • tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang
  • motor elektrik pacuan roda belakang 218 hp & 240 Nm
  • nisbah agihan berat badan 50:50

Kedengaran macam ciri yang ada pada kereta sports, kan?

Usah biarkan harapan anda setinggi gunung kerana Leapmotor B10 tidak direka untuk pemanduan yang beremosi walaupun hadir dengan talaan tersendiri oleh Stellantis.

Namun, talaan suspensi B10 ini dirasakan lebih dekat dengan jiwa berbanding pakej yang wujud pada C10.

Tetapan suspensi B10 lebih ke arah keselesaan namun dengan kadar olengan badan lebih terkawal dan tidak terlalu melantun-lantun.

Respons stereng juga tepat, lebih mudah untuk dijangka, dan tidak memerlukan banyak pembetulan.

Lagi satu, usah pandang rendah pada B10 walaupun dilengkapi dengan tayar buatan Linglong.

Ini kerana getah Linglong Sport Master ini terbukti prestasinya dalam menawarkan pemanduan yang senyap, laluan berliku dan ketika menempuh cuaca basah.

Seperkara yang penulis amat hargai pada B10 ialah respons pedal brek yang dirasakan lebih hidup dan mudah untuk dijangka titik gigitnya.

Terdapat tiga tetapan respons pendikit disediakan, namun kebanyakan masa penulis lebih gemar menggunakan mod Comfort sebagai tetapan lalai.

Ini kerana tetapan Standard dirasakan sedikit lincah, dan boleh jadi membuatkan penumpang rasa tidak selesa. Belum masuk mod Sport lagi.

Bateri dan pengecasan

Varian yang kami pandu uji ini merupakan varian Design yang dilengkapi pek bateri 67.1 kWh.

Untuk sekali cas penuh, B10 Design boleh mencapai jarak pandu sejauh 434 km (data WLTP) – cukup untuk pemanduan dalam bandar.

Untuk pemanduan rentas negeri, lain pula ceritanya.

Berdasarkan pengalaman dari Damansara ke Pulau Pinang tempoh hari, kami perlu mengecas SUV ini sekurang-kurangnya sekali untuk memastikan ia mempunyai tenaga yang mencukupi.

Disinilah munculnya satu lagi kelebihan B10, iaitu keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 168 kW.

Ini membolehkan bateri dicas dari 30-80 peratus dalam masa bawah setengah jam sahaja menggunakan pengecas berkelajuan tinggi.

Bermakna, tempoh masa menunggu yang lebih singkat. Itu pun jika anda bernasib baik.

Keselamatan

Secara standard, Leapmotor B10 hadir dengan 7 beg udara, 12 penderia berketepatan tinggi dan sehingga 17 ciri ADAS yang membolehkan pemanduan autonomi Tahap 2.

Ciri di atas membuatkan Leapmotor B10 sesuai untuk mereka yang mahu mula belajar memandu.

Namun untuk mereka yang sudah ada keyakinan, ciri bantuan keselamatan ini akan membuatkan anda rasa lebih penat berbanding biasa.

Seperti contoh, sistem pengekalan lorong (LKA) boleh dimatikan, namun dalam keadaan tertentu ia akan diaktifkan semula secara automatik.

Anda boleh mengambil masa beberapa minit untuk mematikan fungsi yang tidak diinginkan sebelum memandu, namun tiada jaminan ia akan kekal nyahaktif sepanjang masa.

Satu lagi perkara yang sukar diterima ialah penggunaan kad NFC bagi menggantikan fob kunci yang biasa kita guna.

Lebih menyukarkan apabila penderia NFC tersebut hanya dipasang pada cermin sisi sebelah pemandu.

Dari sudut keselamatan, mungkin sekali berguna namun ia bakal membuatkan lelaki sejati rasa jengkel kerana tidak dapat membuka pintu sebelah penumpang untuk memudahkan isteri masuk.

Kesimpulan

Dengan harga jualan RM118,800, Leapmotor B10 mampu menjadi satu alternatif yang berbaloi kepada SUV elektrik segmen C lain seperti Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3.

Bagi kami, ia menawarkan pakej pemanduan yang boleh membuatkan pemandu tersenyum, aspek keselesaan yang masih diutamakan, dan paling penting prestasi pengecasan yang lebih pantas berbanding model pesaing.

Tidak ketinggalan, aspek praktikaliti yang boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga setiap hari.

BYD Seal 6 EV: Sedan elektrik ‘sporti’ mampu beli – pandu uji ringkas

Sporti.

Sekurang-kurangnya, itulah ciri yang cuba BYD ketengahkan untuk model sedan elektrik terbaharu BYD Seal 6 yang dilancarkan dua bulan lepas.

Dengan pakej harga yang berdaya saing (bermula dari RM100 ribu), BYD Seal 6 berjaya mencatatkan jualan lebih 100 unit hanya dalam tempoh minggu pertama selepas pelancaran.

Beberapa minggu yang lepas, kami dijemput oleh BYD Malaysia untuk sesi pandu uji ringkas menuju ke Janda Baik dan Genting Highlands untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan BYD Seal 6 varian Premium.

Berikut merupakan nota ringkas kami:

 

Dimensi dan bentuk

BYD Seal 6 diposisikan sebagai sebuah sedan segmen C, dengan ukuran yang jauh lebih besar berbanding model pesaing seperti Toyota Corolla dan Honda Civic.

Bentuk badan Seal 6 yang tidak begitu sporti berbanding model Seal yang lebih premium itu mengingatkan penulis pada model sedan elektrik buatan Mercedes, iaitu EQE dan EQS.

Namun, kelebihan yang nyata pada Seal 6 ialah kapasiti kargo sebesar 525 liter yang terdiri daripada ruang belakang sebesar 460 liter dan frunk 65 liter.

Selain itu, dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm menjadikan kabin Seal 6 dirasakan lebih luas dan selesa ditambah pula dengan struktur lantai belakang yang rata.

 

Prestasi atas jalan

Varian Premium yang kami pandu uji ini dibekalkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 330 Nm.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang yang ditala sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Pecutan yang diberikan agak linear dan tiada aksi kejutan yang mampu membuatkan leher pemandu terkehel.

Dengan kawalan pendikit yang baik, Seal 6 boleh mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa gangguan.

Talaan suspensi juga agak berkesan untuk mengurangkan gegaran dan ketidakrataan jalan daripada mengganggu kesejahteraan penumpang.

Walaupun ia hadir dengan tetapan RWD, Seal 6 tidak menunjukkan karakter yang sporti ketika dipandu sedikit agresif.

Ini kerana selain daripada talaan stereng Seal 6 tidak mengujakan penulis, sedan ini juga didatangkan dengan balutan getah pada keempat-empat sudut yang dirasakan kurang meyakinkan terutama di selekoh.

Kelebihan talaan suspensi yang disebutkan tadi itu juga lenyap tatkala Seal 6 dibawa naik ke atas Genting Highlands.

Di kebanyakan selekoh, sedan ini dirasakan agak membuai.

 

Pengalaman dalam kabin

Mungkin sedan ini kurang sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan berprestasi.

Tapi untuk kebanyakan lapisan pengguna, ia sudah lebih daripada memadai.

Tempat duduk balutan kulit sintetik itu cukup selesa dan memegang erat pemandu sepanjang masa, dan dimensi kusyen yang cukup menyokong bahagian bawah peha.

Tempat duduk belakang juga cukup luas dan selesa, ditambah dengan rekaan lantai yang rata. Aspek NVH juga tidak mengecewakan sepanjang perjalanan.

Susun atur papan pemuka yang minimalis itu menempatkan skrin tengah sebesar 12 inci yang tidak boleh diputar, namun menyumbatkan segala macam fungsi penting kenderaan.

Paling penting, ada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Itu perkara wajib yang patut ada pada mana-mana kereta moden.

Masih lagi terdapat beberapa butang fungsi fizikal pada konsol tengah, lengkap dengan tempat meletakkan peranti pintar dengan fungsi pengecasan tanpa wayar disertakan.

Mujur fungsi larasan cermin sisi masih lagi dikekalkan pada panel pintu.

Cuma sayang sekali, walaupun hadir dengan kelengkapan keselamatan yang canggih seperti AEB, FCW, LDW dan kamera 360 darjah, sedan ini tidak langsung mempunyai ciri pemantauan titik buta (BSM) walaupun untuk varian yang lebih tinggi.

 

Alternatif kepada sedan segmen C di luar sana?

Ya, dengan harga di bawah julat RM120 ribu BYD Seal 6 boleh jadi satu alternatif yang baik jika anda perlukan sebuah kereta sedan yang besar, selesa, moden.

Tambah pula jika anda kini terkesan kerana tidak lagi mendapat bantuan subsidi Budi95.

Apapun, tepuk dada, tanyalah selera. Seperti yang pernah kami tekankan sebelum ini, pandu uji terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Malaysia negara pertama terima kehadiran BYD Seal 6 2025, harga dari RM100k

Lima perkara anda perlu tahu tentang Lexus NX350h – pandu uji ringkas

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kecoh seantero laman media sosial tentang penawaran harga RON95 di bawah program subsidi yang diumumkan oleh kerajaan Madani.

Di zaman yang tidak menentu ini, sudah pasti ada di antara golongan yang lebih berkemampuan di luar sana tidak mahu terjejas dengan kenaikan harga bahan bakar.

EV bukanlah satu pilihan yang ideal untuk sesetengah pihak. Jadi apa pilihan yang ada di pasaran? 

Lexus NX350h yang baru sahaja diperkenalkan oleh Lexus Malaysia sejak beberapa bulan lepas.

Engear TV baru-baru ini dijemput untuk merasai pemanduan singkat SUV mewah berkuasa hibrid ini menuju ke negeri pelancongan terkenal di selatan tanah air.

Kami kemudian singgah di sebuah lokasi penginapan baharu yang digelar sebagai The Lisbon Melaka untuk menikmati hidangan fusion yang ditawarkan.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Rupa luaran

Secara fizikal, tidak banyak yang berubah untuk varian hibrid berbanding varian NX250 yang digantikannya itu.

Perkakasan standard termasuklah unit lampu projektor LED, lampu belakang LED berbentuk L, serta rim bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar 235/50.

 

2. Unit pacuan hibrid

Perubahan besar yang wujud kali ini ialah kehadiran unit pacuan hibrid.

Sistem hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter NA (A25A-FXS) dipadankan dengan dua motor elektrik, sistem pacuan semua roda E-Four dan transmisi CVT lapan nisbah kelajuan maya.

Secara keseluruhan, NX350h ini mampu menjana kuasa setinggi 243 hp dan 239 Nm dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter/100 km.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

3. Bagaimana pula dengan ruang kabin?

Ruang kabin NX350h juga masih kekal dengan susun atur standard NX yang dibayangi falsafah Tazuna.

Skrin tengah bersaiz 14 inci diposisikan supaya menghadap pemandu bagi memudahkan operasi penukaran menu/larasan suhu sepanjang perjalanan.

Malah, Lexus dengan baik hatinya masih lagi mengekalkan kehadiran tombol fizikal untuk penukaran mod pemanduan.

Sistem paparan keliling 360 darjah lengkap dengan pandangan ‘tembus’ lantai memudahkan pengendalian di kawasan yang sempit.

Pemandu juga ditemani dengan paparan peta Apple CarPlay tanpa wayar, serta alunan irama yang cukup mengasyikkan daripada sistem audio 10 pembesar suara yang lengkap dengan subwoofer bertenaga.

Selain penawaran warna hitam, pembeli juga boleh memilih kemasan warna merah Dark Rose seperti unit yang kami pandu ini.

Antara kemasan unik yang wujud pada panel pintu ialah tekstur 3D Cutting Black yang lebih menyerlah apabila berada di bawah sinaran mentari.

 

4. Pemanduan jimat minyak

Bagi kami, Lexus NX350h ini berada di posisi yang tepat untuk mereka yang masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV.

Dengan sistem hibrid yang cukup cekap, perjalanan jarak jauh boleh dibuat tanpa perlu membuat singgahan ke stesen minyak secara kerap.

Berdasarkan pemanduan ringkas, kami mendapati Lexus NX350h tidak segan silu untuk menguasai laluan kanan lebuh raya pada kelajuan yang stabil untuk dikawal, dalam masa yang sama tidak juga perlahan pecutannya.

Tambah pula bila masuk mod Sport, hamburan kuasa dirasakan lebih bertenaga untuk memalukan sedan segmen B yang acah-acah laju.

Dalam keadaan pemanduan yang cukup bersemangat pergi dan balik itu, Lexus NX350h mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.6 liter per 100 km. Jarak pemanduan tersisa berada pada julat 480 km.

Menariknya, SUV hibrid ini turut merekodkan kadar pemanduan sifar emisi lebih 50 peratus, sementara tolok bahan api mencatatkan penurunan sebanyak dua bar sahaja.

Mungkin dengan corak pemanduan yang lebih sopan dan santai, anda mampu mencapai bacaan jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh.

Satu kelebihan yang ditawarkan oleh Lexus NX350h ialah suasana kabin yang rasa premium dan senyap sepanjang perjalanan.

Bunyi enjin masih lagi wujud, namun lebih bersifat deruman berbanding ngauman.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Lexus NX350h ini dijual pada harga bermula dari RM395,888 dan hadir pada masa yang sangat tepat.

Terjejas dengan pelaksanaan subsidi minyak? SUV hibrid ini mungkin sesuai untuk anda!