Arkib Tag: Pakistan

Kilang pemasangan Proton di Pakistan mula operasi, jualan melonjak

PROTON mencatatkan peningkatan perdagangan dan aktiviti eksport hasil pengeluaran model Saga yang dikendalikan Al-Haj Automotive di Pakistan.

Pemasangan Saga oleh Al-Haj Automotive dilakukan di kilang pengeluaran baharunya di Karachi yang dianggarkan bernilai US$20 juta.

Jelas Proton, pasaran Pakistan diyakini mampu melonjak penawaran Saga sekaligus membuka peluang kepada permintaan terhadap model lain.

“Berdasarkan kapasiti tahunan permulaan sebanyak 25,000 unit.

“Potensi jualan di pasaran Pakistan menjadi aspek penting bagi rancangan Proton untuk melonjakkan eksport pada masa depan,” menurut Proton dalam satu kenyataan.

Saga merupakan model pertama Proton yang dipasang oleh Al-Haj Automotive pada tahun ini.

Foto ihsan Proton

Sebelum ini, majlis pelancaran Saga di Pakistan telah dirasmikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alvi.

Sementara itu, Proton bakal melancarkan model X70 di Paksitan sekaligus menjadi model kedua dipasang di negara tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, Proton telah melakukan penghantaran terakhir sebanyak 154 unit X70 import sepenuhnya (CBU) ke Paskistan.

Foto ihsan Proton

Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatannya.

Setakat ini, pihak Al-Haj telah menerima 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih 2,000 unit tempahan untuk X70.

Proton tangguh operasi susulan PKP, pasaran Pakistan terjejas

PENUTUPAN sementara operasi Proton menyaksikan berlaku kelewatan penghantaran produknya ke pasaran Pakistan.

Perkara itu diumum Al-Haj Automotive yang merupakan syarikat menguruskan penjualan kenderaan Proton di negara itu.

Mengakui aktiviti perniagaan terjejas teruk, Al-Haj Automotive pada masa sama meminta para pelangannya bersabar dengan situasi berlaku.

“Keseluruhan aktiviti perniagaan terjejas teruk. Kami jangkakan penghantaran untuk pelanggan akan mengalami kelewatan.

“Kami akan memantau dengan dekat situasi tidak menentu ini. Semoga para pelanggan dapat menanti penuh sabar dengan situasi ini,” memetik satu kenyataan.

Sebelum ini, Proton memaklumkan penutupan sementara operasinya susulan perintah kawalan pergerakan menyeluruh bagi membendung Covid-19.

Ketika ini, dua model telah dilancarkan Proton di pasaran Pakistan.

Dua model tersebut adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan jenis sedan iaitu Saga.

Komited untuk terus bersaing di pasaran Pakistan, sebuah kilang produksi akan dibina di Karachi bermula suku ketiga tahun ini.

Apa yang menarik, pembukaan kilang itu nanti bakal menyaksikan pembuatan Proton X50 bagi pasaran Pakistan.

Pembukaan kilang pengeluaran Proton dijangka mampu menghasilkan 25,000 unit kenderaan dan membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Saga model kedua tembus pasaran Pakistan selepas X70

PROTON Holdings Bhd melancarkan model terlarisnya, Proton Saga di pasaran Pakistan.

Selepas berjaya memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 tahun lalu, Proton yakin model Saga mampu mendapat permintaan tinggi sekaligus memenuhi kehendak pasaran negara itu.

Terdapat tiga varian ditawarkan di pasaran Pakistan iaitu  Saga MT, Saga AT dan Saga Ace AT.

Proton turut menawarkan 100 unit Proton Saga R3 edisi terhad dengan pilihan transmisi MT atau AT.

Setakat ini, semua kenderaan Proton di Pakistan merupakan unit Completely BuiltUp atau CBU.

Bagaimanapun, Proton menjangkakan dapat melaksanakan pemasangan tempatan bagi kesemua model di Pakistan pada suku ketiga tahun ini.

Ia adalah hasil kerjasama dengan rakan kongsinya Al-Haj Automotive yang bakal membuka kilang di Karachi dengan kapasiti pengeluaran 25,000 unit setahun.

Setakat ini, Proton telah menembusi pasaran antarabangsa di beberapa negara termasuk Brunei, Bangladesh, Mesir, Jordan, Kenya, Mauritius, Nepal dan Pakistan.