Arkib Tag: Onvo

Nio perkenal Onvo, sub-jenama untuk EV pintar

Nio, pengeluar kenderaan elektrik yang berpangkalan di Shanghai, China, telah melancarkan sub-jenama untuk EV pintarnya yang dikenali sebagai Onvo.

Nama Onvo merupakan singkatan kepada ‘On Voyage’. Produk pertamanya yang akan memasuki pasaran adalah L60, SUV elektrik yang dibangunkan untuk bersaing dengan Tesla Model Y.

Tempahan untuk L60 telah dibuka di China, dengan harga bermula dari RMB219,900 (RM142,670). Penghantaran dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Untuk perbandingan, harga jualan Model Y di Malaysia bermula dari RM191,000 untuk varian Rear-Wheel Drive hingga RM280,000 untuk Performance.

Menurut Onvo, L60 dibina menggunakan seni bina 900V yang dikatakan lebih cekap tenaga. Ia mempunyai kadar kecekapan tenaga 92.3% (kitaran CLTC) dan pekali seretan paling rendah dalam segmen SUV iaitu 0.229 Cd.

Hasilnya, syarikat itu mendakwa SUV elektrik itu mampu mencapai kadar penggunaan tenaga serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.

Dalam konfigurasi Standard Range, L60 boleh dipandu sejauh 555 km sekali cas manakala konfigurasi Long Range pula menawarkan jarak sehingga 730 km. Dengan bateri Ultra Long Range, ia mampu memberikan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km.

Apa yang lebih menarik, L60 berkongsi teknologi penukaran bateri dengan Nio. Ini membolehkan pemandu menukar bateri EV mereka dalam hanya tiga minit di lebih 1,000 stesen penukaran bateri di seluruh China.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk membeli L60 tanpa bateri. Ia dijual pada harga yang lebih murah iaitu RMB170,000 (RM110,558) namun pelanggan perlu membayar langganan bulanan untuk bateri di bawah perkhidmatan BaaS (Battery as a Service) yang disediakan.

Selepas China, Onvo dilaporkan merancang untuk memasarkan L60 di pasaran global termasuk Eropah menjelang akhir tahun ini.

NIO mahu tawan pasaran massa menerusi jenama mesra famili Onvo

Pengeluar kereta elektrik mewah dari China, NIO adalah satu jenama yang menampilkan barisan sedan dan crossover denga rekaan yang sangat menarik, ditambah pula dengan teknologi penukaran bateri yang sukar ditandingi oleh mana-mana pengeluar.

Jenama itu dilapor bakal hadir dengan sub-jenama baharu yang disasarkan untuk golongan pembeli berkeluarga, dan dengan penawaran harga yang lebih mampu milik.

CEO NIO, William Li mengesahkan nama sub-jenama itu akan dikenali sebagai Onvo (atau Ledao di pasaran China), di mana tanda dagang sub-jenama itu telah pun didaftarkan pada lewat tahun lepas.

 

 

Lebih mencuri tumpuan ialah kelibat unit ujian model pertama Onvo, iaitu Onvo L60 dikesan atas jalan raya China seperti yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Onvo L60 membawakan bentuk crossover fastback yang mampu memberikan saingan terus kepada Tesla Model Y.

Li juga turut mengesahkan teknologi penukaran bateri NIO akan dimuatkan pada Onvo L60, menjadikannya sebuah model EV ampuh yang lebih murah berbanding Tesla Model Y, dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan perasaan kebimbangan jarak dan keperluan untuk berebut di stesen pengecasan.

 

Selain daripada Onvo, NIO juga bakal melancarkan sebuah lagi sub-jenama yang lebih mampu milik, dinamakan sebagai Firefly.

Jenama Firefly ini akan dipasarkan pada tahun 2025 sebagai sebuah jenama kereta kecil elektrik yang premium, sama seperti apa yang ditawarkan oleh jenama MINI (BMW).