Nissan telah mendedahkan Juke generasi ketiga di acara Vision yang berlangsung di ibu pejabat global syarikat di Jepun.
Juke EV merupakan lonjakan evolusi bagi crossover kompak ikonik Nissan, sekali gus menandakan langkah besar bagi strategi elektrifikasi mereka di Eropah.
Dengan pasaran EV Eropah yang semakin berkembang, Nissan menggunakan kepakaran selama 15 tahun untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam pasaran yang kompetitif.
Sejarah dan Evolusi Nissan Juke
Jika Nissan GT-R menggegarkan dunia pada 2007, Nissan Juke pula lahir pada 2010 dan menggegarkan dunia kerana reka bentuknya yang funky dan unik.
Nissan juga membuat kerja gila dengan melahirkan Juke-R yang menggunakan enjin GT-R R35 dan ditawarkan dalam jumlah yang sangat terhad.
Juke generasi kedua diperkenalkan pada 2019 dan meneruskan rekaan funky tersebut untuk pasaran global.
Nissan membuat kejutan sekali lagi dengan Juke EV yang mengekalkan karakter asal sambil memperkenalkan rangkaian kuasa elektrik.
Sejak dilancarkan, Juke memikat 1.5 juta pelanggan di Eropah dan membentuk semula segmen crossover kompak melalui reka bentuk yang menyerlah.
Laluan Fleksibel Menuju Elektrifikasi Penuh
Juke EV akan hadir dalam siri EV Eropah Nissan seperti Micra, Leaf, Ariya dan Townstar selain model segmen A yang bakal menyusul.
Ia turut dilengkapi teknologi Vehicle to Grid seperti model Leaf.
Walaupun fokus kepada EV, model hibrid e-POWER dan HEV seperti Qashqai tetap ditawarkan bagi memberi pilihan teknologi bersesuaian kepada pelanggan sebelum beralih kepada kuasa elektrik.
Rangkaian Kuasa Juke EV dan Pengeluaran di Sunderland
Juke generasi ketiga menggunakan platform CMF-EV dan bakal dikeluarkan di Kilang Sunderland, United Kingdom.
Menurut Pengerusi Nissan AMIEO, Massimiliano Messina, Eropah kekal menjadi pusat strategi elektrifikasi syarikat.
Fasa ujian pengeluaran akan bermula dalam beberapa minggu lagi bagi memastikan kualiti terbaik.
Komitmen ini turut disokong oleh rangkaian reka bentuk dan kejuruteraan Nissan di UK, Sepanyol, serta Jerman sebagai hab inovasi serantau.
Juke EV dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada musim bunga (Mac hingga Mei) 2027.
