Nissan memperkenalkan Frontier SV 4×4 dan 4×2 Sport Edition untuk pasaran Amerika Syarikat.
Jika banyak pasaran lain menerima pikap Navara, Amerika Syarikat pula ditawarkan Frontier.
Model ini bukan kembar Navara dan digerakkan enjin bersesaran besar 3.8L V6.
Pikap saiz pertengahan ini ditawarkan dalam pilihan badan King Cab (gred S sahaja) atau Crew Cab dengan pilihan panjang kargo 5 atau 6 kaki.
Pelanggan diberi pilihan empat varian iaitu S, SV, PRO-X dan PRO-4X serta pakej personalisasi Dark Armor, Sport Edition dan PRO-4X R.
Model ini dipasang di kilang Canton, Mississippi bagi mengukuhkan komitmen pembuatan dan peluang pekerjaan di Amerika Syarikat.
Pakej Sport Edition Untuk Frontier SV
Pakej ini berorientasikan off-road yang diinspirasikan daripada Fronter PRO-X dan PRO-4X dilengkapi rim 17 inci hitam gaya off-road dengan tayar semua permukaan (AT) Hankook Dynapro.
Perubahan visual luaran pula menampilkan kemasan bampar hadapan bawah, skid plate aluminium, gril dan cermin sisi hitam.
Turut dilengkapi lampu kabus LED, lampu riasan hadapan dan logo Sport pada sisi kargo serta pintu belakang.
Pada bahagian ruang dalaman, skema balutan hitam yang tahan lasak dipadankan dengan jahitan riasan kuning berkontras tinggi.
Tayar AT dan Pakej Bumbung Suria
Frontier Sport Edition dilengkapi tayar AT terus dari pusat jualan Nissan untuk memberikan kawalan dan keyakinan tambahan di laluan bukan berturap.
Penawaran tersebut memenuhi keperluan pemandu yang mahu menggunakan pikap ini untuk bekerja, meluangkan hobi di laluan rekreasi atau menerokai laluan off-road ringan.
Bagi gred PRO-X dan PRO-4X, pakej Moonroof kini ditambah bersama Convenience Package untuk memberikan fleksibiliti kepada pembeli untuk memilih ciri khusus berasingan yang mereka inginkan.
Pilihan Warna dan Kemas Kini Pengecas Tanpa Wayar
Warna luaran ditambah dengan Alpine Metallic baharu yang memberikan penampilan lebih anggun.
Turut ditawarkan warna Red Alert, Tactical Green Metallic, Afterburn Orange, Gun Metallic, Boulder Gray Pearl, Super Black, Glacier White dan Bluestone Pearl.
Pengecas telefon tanpa wayar dalam pakej PRO Convenience telah dinaik taraf untuk pengecasan yang lebih pantas dan konsisten.
Pengecas ini menggunakan magnet untuk kedudukan telefon yang optimum serta kipas terbina bagi memastikan peranti kekal sejuk lebih lama.
Personalisasi Melalui Pakej Dark Armor Dan PRO-4X R
Nissan Frontier Sport Edition 2027 turut menawarkan dua pilihan pakej personalisasi:
Pakej Dark Armor (Gred SV)
- Penampilan kemas melalui padanan hitam berkilat pada gril, logo luaran, cermin sisi, riasan ruang dalaman, pelapik bumbung dalaman serta rim aloi 17 inci khas.
Pakej PRO-4X R
- Peningkatan keupayaan off-road melalui tayar AT Hankook Dynapro AT2 Xtreme 265/70R17 yang lebih agresif, rim off-road 17 inci.
- Tombol gear kulit serta riasan kemasan titanium pada jeriji gril dan skid plate.
Rangkaian Kuasa
Frontier dikuasakan oleh enjin 3.8 liter V6 suntikan terus yang dibina di Amerika Syarikat. Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 314 ps dan tork sebanyak 381 Nm.
Keupayaan Mekanikal dan Pemanduan Off-road Gred PRO-X Dan PRO-4X
Frontier PRO-X yang hanya tersedia dalam konfigurasi 4×2 dan varian PRO-4X memudahkan pemanduan off-road.
Model ini menggunakan komponen suspensi Bilstein, rim hitam 17 inci dengan tulisan berwarna Lava Red, tayar AT dan pembeza belakang kunci elektronik khusus untuk varian PRO-4X sahaja.
Froniter PRO-X dan PRO-4X mempunyai penampilan lebih lasak dengan over-fender, cangkuk tunda Lava Red, kemasan luaran hitam dan riasan ruang dalaman Lava Red yang unik.
Kedua-dua varian tersedia dengan Intelligent Around View Monitor.
Bagi varian PRO-4X, sistem ini mempunyai tambahan Off-Road Mode yang boleh digunakan semasa memandu sehingga kelajuan 19 km/j.
Trak pikap ini mempunyai penarafan tunda sehingga 3,243 kg, manakala ciri Trailer Sway Control didatangkan standard pada gred SV and PRO.
Teknologi Keselamatan dan Sistem Ketersambungan
Semua varian Nissan Frontier Sport Edition 2027 dilengkapi teknologi bantuan pemandu dan keselamatan standard.
Ciri tersebut merangkumi Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, penderia parkir belakang, High Beam Assist dan Intelligent Cruise Control.
Frontier dilengkapi skrin sentuh standard 8-inci atau pilihan 12.3-inci untuk varian SV dan PRO.
Penumpang Frontier SV dan PRO disediakan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto dan juga sehingga empat port USB.
Paparan Advanced Drive Assist standard 7-inci pula diletakkan pada kluster instrumen untuk memaparkan data kenderaan kepada pemandu.
Kredit gambar: Nissan
