Arkib Tag: NC

Ini bukan Aston Martin klasik, tetapi Mazda MX-5 NC tahun 2007

Sekilas pandang, kereta roadster ini nampak seperti ia keluar daripada kilang pengeluaran Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Walau bagaimanapun, tersembunyi di sebalik rekaan bergaya ini adalah sebuah Mazda MX-5/Miata Sport generasi ketiga (NC) keluaran tahun 2007.

Inspirasi daripada DB5

Seperti yang boleh dilihat, MX-5 ini direka semula sepenuhnya, dengan pengaruh yang kuat daripada Aston Martin DB5. Bahagian hadapannya menampilkan sepasang lampu bulat, skup pada bahagian bonet, serta gril signatur jenama British itu.

Di belakang pula, terdapat empat lampu berbentuk bulat serta sepasang muncung ekzos yang keluar daripada bahagian tengah bampar. Penampilan klasik MX-5 ini dilengkapkan dengan rim 16 inci dengan kemasan krom yang kelihatan tidak ubah seperti rim Borrani yang digunakan pada DB5.

Tidak cukup dengan itu, logo Mazda digantikan dengan logo Aston Martin, manakala nombor plat pula tertera ‘DB 007’, satu penghormatan kepada James Bond yang menggunakan DB5 dalam filem Goldfinger.

Ruang dalaman juga klasik

Ruang dalaman turut diberi wajah baharu, dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah, serta stereng kayu klasik Nardi, lengkap dengan logo Aston Martin.

Namun begitu, di bawah bonet, enjin asal 2.0-liter empat silinder dikekalkan. Enjin tersebut menghasilkan 166 hp dan 190 Nm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Setakat ini, odometer menunjukkan bacaan sekitar 26,000 batu (kira-kira 41,842 km).

Sambutan agak popular

Direka oleh Simpson Design dari Washington, MX-5 unik ini boleh menjadi milik anda memandangkan ia kini dibuka untuk bidaan menerusi laman web Bring a Trailer.

Semakan pada laman web berkenaan menunjukkan kereta ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat, dengan bidaan terkini USD20,500 (RM81,270).