Perodua menyambut baik penjelasan Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai pendiriannya terhadap Dasar Automotif Negara (NAP).
Tujuan dasar berkenaan diperkenalkan adalah untuk menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.
Dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh.
Hasilnya, ia boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan.
Ini termasuklah membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, ia juga memperkukuh komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.
Visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan di dalam NAP membolehkan rakyat Malaysia menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat seperti:
- tawaran perkhidmatan lebih meluas dan memenuhi permintaan pelanggan
- aspek keselamatan dipertingkat
- integrasi mudah alih berasaskan teknologi Internet
Perodua menyifatkan pelan hala tuju sedia ada berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif.
Jenama itu turut memuji MITI atas visi yang menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak, sekali gus menjadikan industri automotif Malaysia progresif.
Komitmen MITI turut disokong penuh oleh Persatuan Pengedar Perodua (PDA) dan Persatuan Pembekal Perodua (P2SA).
Dalam satu kenyataan, P2SA menjelaskan syarat yang dikenakan oleh MITI secara konsistem merangkumi semua jenama itu dapat memastikan pertumbuhan sektor kenderaan elektrik (EV) tidak akan menjejaskan ekosistem tempatan sedia ada.
