Arkib Tag: MyWatch

Pemandu lori cuai hampir rempuh penunggang motosikal wanita

TINDAKAN seorang pemandu lori yang membelok secara tiba-tiba tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi rakaman video dimuatnaik di Twitter, kelihatan sebuah lori hampir merempuh motosikal ditunggang seorang wanita ketika cuba memotong kenderaan berat itu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan bernasib baik memandangkan pemandu lori terbabit sempat memberhentikan kenderaan diapndunya.

Menerusi ciapan MyWatch, pengendali akaun itu meminta pihak polis mengesan pemandu lori itu kerana memandu dengan cuai.

“Memandu dengan cuai dan tidak bertanggungjawab. Mohon PDRM hantar ‘surat cinta’ (saman),” katanya.

Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu dengan cuai boleh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 dan dipenjara 12 bulan.

Sementara itu, kebanyakan pengguna media sosial mengkritik cara pemanduan pemandu lori terbabit yang disifatkan sangat cuai sehingga mampu mengundang kemalangan.

Pada masa sama, mereka bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku sambil meminta semua penunggang motosikal lebih peka dengan keadaan jalan raya.

Jalan lengang kerana ‘lockdown’, mat rempit pula ambil kesempatan

MENGECEWAKAN!

Demikian dapat disimpulkan mengenai sikap sekumpulan anak muda bersuka ria melakukan aktiviti lumba haram dekat Kuantan, Pahang.

Tular di Twitter, kumpulan berkenaan didapati berlumba sesama sendiri selain tidak mengindahkan ‘teguran’ pemandu lain.

Menerusi video dimuatnaik MyWatch, beberapa lelaki dilihat menghalang laluan sebuah kenderaan kerana terlalu ‘asyik’ berlumba haram.

Kesemua mereka tidak menghiraukan sebuah kenderaan yang cuba memotong walau telah diberikan amaran hon.

“Segelintir ‘mat rempit’ ambil kesempatan jalan lengang untuk berlumba. Lokasi di Kuantan, Pahang,” kata pengendali akaun MyWatch.

Isu lumba haram bukan suatu yang baharu di negara ini.

Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi menangani lumba haram termasuk mengenakan tindakan undang-undang yang ketat.

Namun, ada juga pihak berpandangan penguatkuasaan undang-undang tidak cukup untuk menghentikan lumba haram.

Satu langkah terbuka perlu dilakukan termasuk sesi dialog agar punca dan permasalahan dapat ditangani secara holistik.