Kali terakhir Mazda menggunakan warna luaran Sunflower Yellow pada MX-5 adalah pada generasi NC, tetapi model itu sudah meninggalkan pasaran lebih sedekad lalu.
Kini, warna kuning ikonik tersebut kembali pada MX-5 generasi ND menerusi MX-5 FSW Ver.2, namun hanya enam unit akan dihasilkan.
Dan untuk mendapatkannya, pembeli perlu menyertai cabutan bertuah secara fizikal di Fuji Speedway.
Bukan sekadar cat semula di pusat pengedar
Asasnya ialah versi S Special Package dengan kemasan dalaman Jet Black Mica, sebelum diberikan warna Sunflower Yellow yang sebelum ini hanya ditawarkan pada MX-5 generasi NC.
Warna yang sama pernah ditawarkan untuk MX-5 pasaran Amerika Syarikat bagi model keluaratan tahun 2009 dan 2010 namun di sana, ia dikenali sebagai Competition Yellow.
Menariknya, kerja mengecat semula dan proses pengesahan kereta ini dilakukan di Mazda Engineering & Technology (E&T) di Hiroshima, iaitu fasiliti yang sama di mana kereta-kereta konsep dihasilkan.
Setiap satu daripada enam unit FSW Ver.2 didatangkan dengan sijil daripada E&T bagi mengesahkan asal-usul dan proses pembinaannya.
Bukan sekadar beli warna eksklusif
Namun, pembeli bukan sekadar membayar untuk cat tersebut. Setiap pembeli bakal menikmati pengalaman istimewa lawatan dua hari satu malam ke Hiroshima, termasuk kunjungan ke ibu pejabat Mazda, Mazda Museum serta fasiliti E&T berkenaan.
Nak beli? Kena menang cabutan bertuah di Fuji Speedway
Pemenang akan diumumkan dari pentas utama sebelum acara berakhir, dan hak pembelian hanya diberikan kepada nama yang didaftarkan.
Model ini juga terhad kepada pasaran Jepun, dengan jualan serta khidmat selepas jualan dikendalikan oleh salah satu daripada empat pengedar yang terlibat.
