Arkib Tag: MSF Superturismo

Malaysia Speed Festival 2026 gegar Litar Sepang sepanjang hujung minggu Merdeka

Bersempena sambutan Merdeka ke-69, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan dengan acara tahunan Malaysia Speed Festival Merdeka Endurance.

Sepanjang hujung minggu MSF edisi ke-9 tersebut, peminat boleh menikmati beberapa perlumbaan yang telah disusun terdiri daripada lebih 200 jentera lumba empat roda dan dua roda.

MSF SuperTurismo Merdeka 11 Endurance

MSF Merdeka Endurance bakal menampilkan perlumbaan ketahanan 111 lap, bersamaan jarak sejauh 615 km mengelilingi litar 5.543 km.

Perlumbaan tersebut dibahagikan kepada tujuh kelas:

  • Super Series Limited
  • EXN GT86 x BRZ Racing Cup
  • Super Compatto
  • Standard Production
  • Standard Production MAX
  • Super Production
  • K-Series Battle

Dalam perlumbaan ini, setiap pasukan wajib menurunkan minimum dua pemandu dan melakukan dua hentian pit wajib selama tiga minit.

Dengan tempoh pemanduan bagi setiap pemandu tidak dihadkan, setiap pasukan perlu bergantung kepada strategi pra-perlumbaan yang telah dirancang.

Perlumbaan ini akan bermula pada 30 Ogos jam 5.30 petang dan berakhir sebelum tengah malam sambutan Hari Merdeka ke-69.

MotoMSF & acara perlumbaan lain

Terdapat juga perlumbaan endurans Superbikes 33 lap dengan jarak sejauh hampir 183 km tanpa henti pada hari Ahad.

Perlumbaan Superbikes ini akan turut menampilkan pasukan 2 pelumba dengan hentian pit wajib setiap 8 lap, bermula jam 11.30 pagi hingga 2.00 petang.

Selain itu, perlumbaan lain yang turut tersenarai termasuklah:

Sabtu, 29 Ogos: 

  • dua perlumbaan 5-lap kelas Super Unlimited
  • perlumbaan 8-lap Skilldrvn One Make Race Series

Ahad, 30 Ogos: 

  • perlumbaan 7-lap American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft
  • perlumbaan 10-lap Skilldrivn One Make Race Series
  • Merdeka 75 Cup (Saga Cup, Myvi Cup, Campro Cup dan Tuner Production)
Menurut Adian Yein Khalid selaku Prinsipal MSF, “Acara Merdeka Race telah berkembang pesat, dan mampu menganjurkan perlumbaan tahunan 111-lap merupakan satu pencapaian bermakna buat MSF.
“Apa yang menjadikan perlumbaan ini istimewa ialah dapat menghimpunkan pelumba veteran, muka baharu, pasukan yang terkemuka dan berpengalaman di dalam grid yang sama.
“Ia merupakan ujian sebenar tentang kelajuan, konsistensi, strategi dan kerja berpasukan.

Harga tiket

Pas paddock boleh dibeli pada harga RM45 untuk akses dari 10 pagi hingga 11 malam, sementara kanak-kanak bawah 12 tahun boleh masuk secara percuma.

Selain menyaksikan aksi perlumbaan dan memasuki ruang paddock, pengunjung juga boleh menikmati ruang food truck serta membeli barangan bertemakan sukan permotoran.

 

MSF umum kategori baharu Myvi Cup, khas untuk ‘King of the Road!’

Selain menjadi raja jalanan (king of the road), pemilik Perodua Myvi juga kini boleh berazam untuk memburu gelaran raja litar lumba menerusi pengenalan kategori Myvi Cup dalam Malaysia Speed Festival (MSF).

Kategori perlumbaan terbaharu itu akan membuat kemunculan rasmi di Pusingan 6 MSF Superturismo di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 10 November ini.

Myvi Cup merupakan inisiatif yang diperkenalkan sendiri oleh MSF dan terbuka kepada semua jenis Perodua Myvi yang terjual di pasaran Malaysia.

Terdapat dua sub-kategori yang dipertandingkan iaitu Pro dan Casual yang akan dibezakan berdasarkan tahap kemahiran pemandu oleh penganjur perlumbaan.

Sama seperti Saga Cup, setiap jentera yang bertanding perlulah mempunyai komponen perlumbaan dan keselamatan yang dibenarkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan komponen asal kereta.

Seperti contoh, brek hadapan perlulah mengekalkan dimensi asal spesifikasi kilang, diikuti dengan penggunaan brek dram di belakang.

Namun, pelumba boleh menggunakan komponen aftermarket seperti rotor berliang, pelapik brek serta hos brek yang boleh dipadankan terus tanpa memerlukan ubahsuai.

Selain itu, pelumba juga perlu menggunakan blok enjin, throttle body dan manifold kemasukan yang asal (boleh diubahsuai namun bahagian luaran perlu nampak standard), diikuti dengan ECU original (boleh ditala semula/reflash), dan kotak gear Myvi yang asal (nisbah akhir yang boleh diubahsuai).

Penggunaan kotak komputer jenis stand alone adalah dilarang sama sekali, diikuti dengan penggunaan kotak gear jenis dog-box dan penukaran sekuential.

Kesemua kereta juga perlulah mengekalkan pacuan roda hadapan dan tidak dibenarkan untuk menggunakan komponen LSD.

Menurut prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid berkata, “falsafah MSF adalah untuk menjadikan perlumbaan yang lebih mudah diakses dan lebih mampu milik kepada orang ramai.

“Saga Cup telah terbukti berjaya dengan penyertaan lebih 75 buah kereta dan hampir 200 orang pelumba mengambil bahagian pada setiap pusingan.

“Pengenalan Myvi Cup merupakan satu langkah ke arah lebih banyak kepelbagaian ke dalam sukan permotoran. Bertentangan dengan kepercayaan, Myvi telah membuktikan ia mampu menjadi pantas dan kompetitif di dalam litar.”