Arkib Tag: motosikal adventure

Kawasaki KLE 500 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM32,900

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) secara rasmi melancarkan motosikal adventure Kawasaki KLE 500 untuk pasaran Malaysia.

Untuk makluman, KLE 500 merupakan antara nama besar yang popular era 90-an.

Motosikal adventure ini dijual pada harga bermula dari RM32,900 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Spesifikasi KLE 500

Ia dipacu enjin parallel-twin 451 cc sejukan cecair DOHC yang mampu menjana kuasa 44.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 42.6 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dan sistem pacuan akhir rantai.

KLE 500 menggunakan casis trellis yang disokong fork KYB terbalik 43 mm di depan dan penyerap hentak tunggal Uni Trak di belakang.

Jarak pergerakan roda adalah sekitar 210 mm di depan dan 196 mm di belakang.

Sistem brek pula menggunakan tetapan angkup dua-omboh dengan rotor bersaiz 300 mm di depan dan 230 mm di belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • tangki bahan api 16 liter
  • rim lidi 21 inci depan/17 inci belakang
  • skrin penghadang angin boleh laras 3-posisi
  • skrin paparan LCD
  • tinggi pelana 870 mm
  • sistem ABS yang boleh dimatikan

Kawasaki KLE 500 hanya tersedia dengan warna gabungan Metallic Carbon Gray, Ebony dan Frame Flat Black.

Pakej istimewa untuk 60 pemilik pertama

MODENAS turut mengumumkan tawaran istimewa untuk 60 orang pemilik pertama berupa:

  • pakej Kawasaki Megatrail Fun Ride 2 Hari 1 Malam
  • jersi edisi terhad KLE 500
  • sijil pemilikan eksklusif
  • beg pelana edisi terhad

Acara Megatrail akan berlangsung di Dataran Amanjaya Lawin, Gerik, Perak pada 26 September ini.

Selain dapat merasai tunggangan off-road sejauh 150 km, peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM40,000 termasuklah sebuah motosikal Kawasaki serba baharu.

Tawaran ini sah bermula 3 hingga 31 Ogos ini di semua pusat pengedar sah Kawasaki di seluruh negara.

BMW R 1300 GS Adventure 2025 – harga jualan rasmi dari RM148,500

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan harga jualan rasmi bagi jentera BMW R 1300 GS Adventure 2025 yang boleh didapati di semua pengedar sah di seluruh negara, bermula dari RM148,500.

Motosikal adventure tersebut diperlihatkan buat kali pertama di acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung tempoh hari.

Dari segi kuasa, R 1300 GS Adventure ini dijana dengan enjin boxer dua silinder 1,300 cc menghasilkan 145 hp dan 149 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi melebihi 200 km/j.

BMW R 1300 GS Adventure ini menampilkan penggayaan serba baharu termasuklah struktur casis yang direka semula yang dibantu sistem suspensi Dynamic Suspension Adjustment (DSA).

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Eco dan Enduro, serta pilihan Riding Modes Pro untuk prestasi yang lebih diperibadikan.

Selain itu, R 1300 GS Adventure ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Dynamic Traction Control (DTC), Hill Start Control (HSC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, kawalan jelajah (DCC), Engine Drag Torque Control (MSR), serta Dynamic Brake Control (DBC).

Terdapat pilihan untuk menambah fungsi Shift Assist Pro untuk varian standard, serta Automated Shift Assistant untuk tiga varian yang lain (Style GS Trophy, Triple Black dan Option 719).

Secara standard, BMW R 1300 GS Adventure ini dilengkapi dengan pakej Touring yang menambah kelengkapan seperti manifold krom, peranti navigasi, serta cagak untuk kotak simpanan aluminium.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT 6.5 inci, slot pengecasan USB, tangki bahan api sebesar 30 liter, kotak storan atas 37 liter, kotak sisi aluminium berkapasiti 73 liter, serta sistem lampu LED.

Harga jualan adalah seperti berikut:
BMW R 1300 GS Adventure Standard – RM148,500
BMW R 1300 GS Adventure Triple Black – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure GS Trophy – RM153,500
BMW R 1300 GS Adventure Option 719 Karakorum – RM164,500