Mforce Bike Holdings secara rasmi melancarkan model terbaharu Moto Morini X-Cape 700 2026 untuk pasaran tempatan.
Jentera kembara itu telah pun diperkenalkan dalam satu acara khas di Zhejiang, China pada November tahun lalu.
Spesifikasi X-Cape 700
Jentera ini dikuasakan oleh enjin dua silinder 693 cc menghasilkan kuasa 74 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi sistem pacuan rantai, transmisi 6-kelajuan serta klac slipper FCC.
Suspensi terdiri daripada fork depan USD Marzocchi boleh laras diikuti penyerap hentak tunggal KYB boleh laras di belakang.
Brek pula menggunakan khidmat angkup 4-omboh dan rotor terapung Brembo 298 mm, dibantu dengan angkup 2-omboh dan rotor 255 mm di belakang.
Ciri lain termasuklah:
- rim jejari 19 inci depan/17 inci belakang
- skrin paparan TFT 7-inci dengan sokongan Bluetooth
- port pengecasan USB Type-A & Type-C
- lampu LED penuh serta lampu DRL
- ABS dua-saluran
- Kawalan Cengkaman (TCS)
- Mod tunggangan Ride & Off-road
- Penghadang angin larasan manual
Secara standard, pembeli akan turut dibekalkan dengan dua kotak sisi (30L kanan dan 34 liter kiri), kotak storan atas 39 liter, pelindung tangan, serta palang pelindung.
Terdapat tiga warna ditawarkan untuk X-Cape 700 iaitu Dynamic White, Stone Black, serta Vortex Red.
