Arkib Tag: Moto Morini X-Cape 1200

Mforce serah enam motosikal kepada JSPT PDRM untuk program PoC

Mforce Bike Holdings menyerahkan enam unit motosikal kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM baru-baru ini.

Penyerahan tersebut dibuat di ibu pejabat Mforce di Valdor, Pulau Pinang melibatkan dua unit bagi setiap model berikut:

  • CFMOTO 1250TR-G
  • BRIXTON K750GT
  • MOTO MORINI  X-CAPE 1200

Jalani ujian pembuktian konsep

Ketiga-tiga model tersebut akan digunakan untuk menjalani program pembuktian konsep (POC) selama tiga bulan.

Sepanjang program, pihak JSPT akan menguji kesesuaian untuk tugasan polis merangkumi aspek berikut:

  • pengendalian
  • keselesaan tunggangan
  • fungsi kelengkapan
  • kesesuaian dengan operasi harian

Dua model iaitu CFMOTO 1250TR-G dan BRIXTON K750GT akan diketengahkan sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi.

Sementara jentera dwi-kegunaan MOTO MORINI X-CAPE 1200 akan turut dinilai di bawah program yang sama.

Hasil penilaian daripada pihak JSPT akan membantu Mforce mengenal pasti ruang penambahbaikan serta penyesuaian yang diperlukan bagi setiap model.

Bagi Mforce, pelaksanaan PoC ini merupakan langkah penting dalam membangunkan penyelesaian mobiliti yang bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan.

 

Moto Morini X-Cape 1200 2026 sah masuk Malaysia – harga RM49,888

Moto Morini Malaysia turut mengumumkan sebuah lagi jentera adventure sesaran tinggi yang bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, iaitu X-Cape 1200.

Harga jualan diumumkan bermula dari RM49,888.

Jentera ini mendapat enjin bentangan V2 87 darjah Corsa Corta Evo sesaran 1,187 cc, menghasilkan kuasa setinggi 129 hp @ 8,75 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 7,000 rpm.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 220 km/j.

Terdapat lima mod tunggangan disediakan seperti All-Terrain, Off Road, Road, Sport dan Wet.

Ia turut mendapat kelengkapan seperti sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal, diikuti dengan sistem brek Brembo M4.32 dan balutan tayar Pirelli pada rim saiz 19 inci depan/17 inci belakang.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT dengan fungsi navigasi terbina, skrin penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta fungsi pemanas untuk pelana dan grip bar hendal.

Ciri keselamatan pula termasuklah penderia unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS) dengan tiga tahap larasan, kawalan jelajah, radar pengesan titik buta, kamera perakam tunggangan serta penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 24.5 liter sementara tinggi pelana pula 840 mm.