Morbidelli memperkenalkan cruiser C125L dengan gaya neo-retro dan enjin kecil bersesaran 125cc.
Jentera ini hadir untuk mentakrifkan semula kategori motosikal 1/8 liter dengan menggabungkan reka bentuk neo-retro yang sasa bersama pakej teknologi.
Kehadiran model ini dilihat sebagai cubaan Morbidelli untuk lari daripada klise kategori cruiser kecil dengan menawarkan spesifikasi yang lebih premium.
Selain cruiser kecil, Morbidelli juga mempunyai sebuah lagi model 1/8 liter iaitu NR125X dengan konsep naked retro dan scrambler.
Reka bentuk C125L menampilkan profil yang rendah dan panjang, dilengkapi tangki bahan api sasa serta pelana yang melunjur kemas ke pengadang lumpur belakang gaya minimalis.
Roda belakang 15 inci bukan sahaja memberikan imej custom, malah menjadi penyumbang kepada ketinggian pelana yang sangat rendah iaitu hanya 740 mm.
Dengan berat basah hanya 150 kg, motosikal ini menawarkan kawalan stabil yang mudah dikendalikan oleh penunggang daripada pelbagai peringkat ketinggian.
Rangkaian Kuasa Morbidelli C125L
Morbidelli C125L dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal 4-lejang dengan sistem Double Overhead Camshaft (DOHC).
Seni bina enjin ini, yang kebiasaannya untuk motosikal sport, membolehkan ia bernafas dengan lebih baik dan menghasilkan 14.9 ps pada 9,500 rpm dan 11.5 Nm pada 8,000 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan yang dilengkapi dengan sistem slipper clutch.
Ciri teknikal ini bertujuan mengelakkan roda belakang daripada terkunci sewaktu proses penurunan gear yang agresif, sekali gus memberikan keyakinan tambahan kepada penunggang.
Walaupun hanya bersesaran kecil, teknologi DOHC dan slipper clutch meletakkan jentera ini dalam kelas tersendiri bagi segmen cruiser 125cc.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 14.5 liter untuk pengembaraan yang menyenangkan.
Di sebalik pakej menarik, kelajuan maksimum hanya 98 km/j dan penunggang perlu berdamai dengannya.
Sistem Suspensi dan Brek
Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik 37 mm dengan jarak gerak 107.5 mm.
Bahagian belakang menggunakan dua penyerap hentak dengan jarak gerak 53 mm dan lengan ayun belakang jenis dua sisi keluli.
Ciri keselamatan aktif C125L terdiri daripada brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) sebagai ciri standard.
Penawaran TCS dalam kelas ini dianggap sebagai satu lonjakan teknologi yang jarang ditemui pada model pesaing.
Bahagian hadapan menggunakan cakera berdiameter 300 mm dengan angkup 2-omboh, manakala bahagian belakang dilengkapi cakera 240 mm dengan angkup 1-omboh.
Gabungan ini memastikan kuasa hentian yang mantap bagi mengimbangi prestasi enjinnya.
Ciri-Ciri dan Kelengkapan
C125L dilengkapi pelbagai ciri-ciri premium untuk kegunaan harian, termasuk panel instrumen jenis LCD dan sistem lampu LED sepenuhnya dengan fungsi pengaktifan automatik serta lampu kecemasan.
Bagi memudahkan penunggang, terdapat dua port pengecasan USB iaitu Jenis-A dan Jenis-C disediakan.
Cruiser ini menggunakan rim aloi aluminium dengan tayar CST bersaiz 110/80-17 di hadapan dan 130/90-15 di belakang.
Spesifikasi Teknikal Morbidelli C125L 2026
- Enjin: 125 cc, 1-silinder, 4-lejang, 4-injap, DOHC
- Gerek x Lejang: 54 x 54.5 mm
- Kuasa Maksimum: 14.9 ps @ 9,500 rpm
- Tork Maksimum: 11.5 Nm @ 8,000 rpm
- Sistem Penyejukan: Cecair
- Sistem Bahan Api: EFI-Motion
- Transmisi: 6-kelajuan dengan slipper clutch
- Rangka: Double-cradle
- Suspensi Hadapan: Teleskopik 37 mm jarak gerak 107.5 mm
- Suspensi Belakang: Dua penyerap hentak jarak gerak 53 mm
- Lengan Ayun: Dua sisi keluli
- Brek Hadapan: Cakera 300 mm, angkup 2-omboh
- Brek Belakang: Cakera 240 mm, angkup 1-omboh
- Sistem Keselamatan: ABS dua saluran dan TCS
- Tayar Hadapan: 110/80-17 CST
- Tayar Belakang: 130/90-15 CST
- Ketinggian Tempat Duduk: 740 mm
- Kapasiti Tangki: 14.5 liter
- Berat: 150 kg
- Beban Maksimum: 150 kg
- Kelajuan Maksimum: 98 km/j
