Arkib Tag: MODENAS Z15GT

MODENAS Z15GT raih kemenangan pertama dalam PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup 2026

MODENAS Z15GT berjaya meraih kemenangan sulung dalam kategori Pro-Am Cup pada Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026.

Perlumbaan tersebut berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Litar Selatan) pada 18 Oktober lalu.

Kejayaan itu diraih menerusi pelumba Raynorton Motorsport, Md Firdaus Mohd Hamdan (#98), yang diumumkan sebagai pemenang rasmi selepas perlumbaan enam pusingan.

Bermula dari petak ketujuh, Firdaus menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 8 minit 22.674 saat.

Beliau menduduki tempat pertama di hadapan Md Haziq Rosmaza (#15) dan Md Harith Rosmaza (#5), selepas dua pelumba lain dibatalkan keputusan akibat pelanggaran peraturan teknikal.

Kemenangan selepas podium pertama

Kemenangan ini hadir hanya lapan hari selepas Firdaus menghadiahkan podium pertama Z15GT dalam kategori Pro-Am di Litar Karting Antarabangsa LYL pada 10 Oktober lalu.

Ketika itu, beliau berjaya melonjak daripada petak permulaan ke-16 untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Menurut Firdaus, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras seluruh pasukan Raynorton Motorsport dalam membangunkan jentera Z15GT sepanjang musim ini.

Pusingan Sepang turut menyaksikan dua lagi pelumba Z15GT mencatatkan keputusan positif.

Md Amirul Affiq Ahmad Solikhin (#52) daripada Raynorton Motorsport menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala Md Afiq Hamdan (#90) menduduki tempat kelapan.

Keputusan itu menyaksikan tiga jentera MODENAS Z15GT berada dalam kelompok lapan pelumba terbaik kategori Pro-Am.

Pencapaian penting Z15GT

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian penting buat Z15GT serta bukti kemampuan pasukan perlumbaan tempatan.

Ketika ini, MODENAS menyokong empat pasukan perlumbaan bebas yang menggunakan Z15GT dalam Kejuaraan Malaysian Cub Prix 2026.

MODENAS terus komited membangunkan bakat sukan permotoran tempatan serta memperkukuh kehadiran motosikal buatan Malaysia dalam arena perlumbaan.

MODENAS Z15GT 2026 dapat 7 penambahbaikan & 2 warna baharu, harga dari RM8,288

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd mengumumkan penawaran dua warna baharu untuk moped MODENAS Z15GT 2026.

Dua warna baharu itu ialah Lime Green dan Amazon Green.

Selain warna baharu, Z15GT turut hadir dengan tujuh penambahbaikan termasuklah:

  • Sistem saliran dulang limpahan yang dipertingkatkan
  • Bahan pengedap tambahan pada suis tombol pencucuhan
  • Rekaan bolt & kolar penutup penyuntik yang disemak semula
  • Garis penunjuk aras rendah untuk tuas brek hadapan
  • Klip penutup sisi yang diperkukuh
  • Penambahan penutup soket bagi melindungi abah-abah wayar daripada pendedahan air
  • Perlindungan titik kimpalan bagi komponen suis kiri & kanan

Harga jualan MODENAS Z15GT bermula dari RM8,288.

MODENAS lanjut Program Z15GT Care hingga 31 Oktober

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mengumumkan lanjutan Program Z15GT Care sehingga 31 Oktober 2026.

Lanjutan selama dua bulan ini dilihat memberi lebih kebebasan kepada pemilik Modenas Z15GT untuk mendapatkan pemeriksaan percuma dan bantuan selepas jualan.

Menurut MODENAS, program ini tersedia di 94 lokasi di seluruh negara, merangkumi:

  • 84 pengedar sah terpilih
  • lima pusat servis MODENAS
  • lima pusat Service Plus

Skop program yang dilanjutkan ini kekal sama, di mana pemilik Z15GT terus menikmati:

  • Pemeriksaan motosikal dan diagnosis percuma oleh juruteknik terlatih
  • Bantuan teknikal, pembaikan dan tuntutan waranti untuk kes yang layak
  • Akses kepada komponen gantian dan alat ganti berkaitan, tertakluk kepada pengesahan teknikal dan ketersediaan

Servis rutin dan item penyelenggaraan di luar skop program masih tertakluk kepada caj perkhidmatan biasa.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami menghargai kerjasama dan maklum balas daripada pemilik Z15GT serta pengedar sah sepanjang program ini.

“Dapatan yang dikumpul membantu usaha berterusan kami dalam memperkukuh kualiti produk, penyampaian servisdan pengalaman pemilikan keseluruhan,” ujarnya lagi.

Pemilik Z15GT yang masih belum menyertai program ini digalakkan untuk menghubungi pengedar sah terdekat.

Mereka perlu membawa dokumen pendaftaran motosikal serta dokumen waranti atau servis berkaitan bagi melancarkan proses penilaian.

MODENAS Z15GT 2025 rasmi dilancarkan – harga RM8,288

MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.

Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.

Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.

Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.

Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
  • lampu kecemasan
  • sistem kunci pintar
  • panel meter instrumen LCD
  • soket pengecasan jenis USB Type-A

Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.

Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.

Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.