Arkib Tag: Moda Motorcycles Malaysia

Moda Sporter S SKII 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM17,998

Moda Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan skuter Sporter S SKII yang telah dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Ia dijual pada harga bermula dari RM17,998.

Diperkenalkan sejak Januari 2025, skuter tersebut merupakan model yang paling laris terjual dalam rangkaian produk Moda.

Kemas kini yang dilakukan pada model ini mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti tempatan, selari dengan falsafah Moda “By Bikers, For Bikers”.

Ciri baharu

Antara ciri baharu yang dimuatkan:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • suis pelbagai fungsi pada bar hendal
  • kamera perakam tunggangan HD hadapan
  • penghadang angin boleh laras elektronik
  • winglet aerodinamik

Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dipertingkatkan untuk tunggangan yang lebih selesa dan stabil dalam pelbagai keadaan.

Sporter S SKII masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 244 cc sejukan cecair menghasilkan 24.8 hp @ 8,500 rpm dan 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain termasuklah:

  • rim 15 inci depan/14 inci belakang
  • brek cakera depan belakang
  • fork teleskopik jenis terbalik
  • tangki minyak 13 liter

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Terdapat dua pilihan warna iaitu Porsch White dan Titan Blue.

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.