Arkib Tag: mistik

Tiada unsur mistik dalam kes budak 6 tahun pandu kereta sendiri

POLIS menolak dakwaan bahawa terdapat unsur mistik yang mendorong seorang kanak-kanak memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati mengetahui cara memandu kenderaan dan mampu menunjukkannya kepada pihak polis ketika siasatan.

Shariman berkata, kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dan menunjukkan bagaimana cara untuk menurunkan brek tangan.

Malah, dia juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta pegawai penyiasat.

Sumber gambar: Media sosial

“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kenderaan menunjukkan pemanduannya tidak stabil, kadang kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya.

“Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan ditularkan oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.

“Kanak-kanak terbabit dibawa ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis telah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam proses temubual itu, kanak-kanak lelaki itu mampu menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian, memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat.

“Malah dia mengaku telah berjaya mengundur kereta terlebih dahulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.

“Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah lima kilometer (km), tapi separuh jalan mereka kemalangan,” katanya.

Black Maria antara lori paling digeruni

SEBUT nama ‘Black Maria’ pasti ramai yang gerun mendengarnya.

Sering kelihatan membawa pesalah atau orang kena tuduh (OKT), ‘Black Maria’ antara kenderaan telah lama digunakan oleh pasukan polis negara ini.

Namun, sejauh mana pengetahuan anda mengenai kenderaan digeruni ramai ini?

Artikel kali ini penulis ingin menceritakan serba sedikit mengenai sejarah ‘Black Maria’.

Sejarah Black Maria

‘Black Maria’ merupakan kenderaan jenis lori atau van yang digunakan polis untuk membawa OKT atau pesalah.

Kenderaan ini dilengkapi sangkar besi di bahagian muatan bagi tujuan keselamatan.

Sangkar besi ini boleh dikunci menggunakan mangga bagi mengelak tahanan daripada melarikan diri ketika dalam perjalanan ke suatu lokasi.

Setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh sebenar ‘Black Maria’ digunakan anggota polis negara ini.

Bagaimanapun, sejarah membuktikan bahawa ‘Black Maria’ telah lama digunakan anggota polis bagi membawa pesalah.

Nama ‘Black Maria’ mula diguna selepas kenderaan itu sering kelihatan membawa seorang pesalah wanita bernama Maria pada tahun 1962 di New Jersey, Amerika Syarikat.

Pada zaman dahulu pula, ‘Black Maria’ merupakan wagon paddy yang diubah dijadikan sebagai kenderaan membawa pesalah.

Lama-kelamaan ‘Black Maria’ yang lebih canggih direka dengan dilengkapi sangkar besi selepas terdapat kes pesalah menyerang anggota polis.

Insiden ‘Black Maria’

Setakat ini, terdapat beberapa insiden pernah menimpa ‘Black Maria’ di negara ini termasuk mambabitkan kes kemalangan dan perkara mistik.

Pada 2017, sebuah ‘Black Maria’ mengalami kemalangan ketika membawa 14 OKT dan tujuh anggota polis.

Insiden berlaku di Kulim, Kedah itu menyebabkan kesemua mereka menaiki kenderaan tersebut mengalami kecederaan.

Memetik laporan berita, kemalangan berpunca apabila kenderaan ‘Black Maria’ itu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Selain itu, terdapat juga beberapa kisah seram membabitkan kenderaan ‘Black Maria’.

Terdapat individu yang percaya sesiapa pernah menaiki ‘Black Maria’ akan ditimpa nasib malang selain berpotensi untuk terus ditahan pihak berkuasa di masa hadapan.

Demikian antara cerita ringkas mengenai ‘Black Maria’ yang digunakan pihak berkuasa negara ini.

Walau apa jua kisahnya, paling penting semoga kita semua terus dijauhkan daripada menaiki kenderaan ini.

Pastikan patuhi undang-undang dan kekal menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.