Arkib Tag: Mission S

Porsche Mission S diperkenal, pratonton kereta super sport enjin tengah baharu di atas 911

Porsche memperkenalkan Mission S, sebuah model konsep yang memberikan gambaran awal tentang hala tuju reka bentuk baharu jenama itu, selain memperlihatkan perancangan untuk platform kereta super sport berenjin tengah yang bakal ditempatkan di atas 911.

Dibangunkan di bawah strategi “Sportwagenschmiede ’35”, Mission S menjadi asas kepada perancangan Porsche untuk membangunkan sebuah model kekal. Bagaimanapun, spesifikasi teknikal dan perancangan pengeluaran masih belum diumumkan.

Reka bentuk diinspirasikan model ikonik Porsche

Mission S menggabungkan elemen reka bentuk klasik Porsche dengan pendekatan yang lebih moden. Bahagian hadapan yang rendah, lampu berbentuk bulat dan fender yang menonjol diinspirasikan daripada 911, manakala bentuk bumbungnya ‘dipinjam’ daripada 959.

Porsche menggunakan pendekatan reka bentuk “floating volumes”, dengan permukaan badan yang mengalir bagi menghasilkan penampilan lebih dinamik.

Garisan yang menghubungkan grafik lampu hadapan dan belakang memberikan identiti visual yang lebih menyeluruh, manakala sayap belakang aktif diinspirasikan daripada Porsche GT1.

Turut menarik perhatian ialah elemen penyejukan yang menyerupai kipas radiator 917, selain rim ringan yang mengambil inspirasi daripada reka bentuk dial 928. Susun atur enjin tengah pula memberikan Mission S perkadaran badan yang tersendiri.

Lima meter bulat, kurang skrin

Bahagian kabin Mission S memberi tumpuan kepada pemandu, dengan gabungan instrumen analog dan teknologi digital tanpa memenuhi papan pemuka dengan skrin.

Lima meter bulat ditempatkan di belakang stereng, dengan takometer analog sebagai instrumen utama. Kedudukan meter boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih, manakala suis dan butang fizikal digabungkan dengan kawalan jenis tolak-tarik untuk fungsi kenderaan.

Elemen Sport Chrono turut menggabungkan reka bentuk klasik dengan fungsi digital.

Menariknya, Mission S tidak mempunyai skrin sentuh kekal atau paparan khusus untuk penumpang. Sebaliknya, pemegang telefon pintar boleh laras dengan sokongan Apple MagSafe membolehkan pemandu menggunakan telefon sendiri untuk navigasi dan maklumat lain.

Kombinasi warna putih, kelabu dan merah di dalam kabin pula ialah inspirasi daripada penglibatan Porsche dalam sukan permotoran.

Model baharu di atas Porsche 911?

Menurut Porsche, Mission S memperlihatkan bahasa reka bentuk yang bakal mempengaruhi model produksi akan datang. Namun, maklumat mengenai rangkaian kuasa, prestasi, harga dan tarikh pengeluaran masih belum didedahkan.

Buat masa ini, Mission S memberikan gambaran awal tentang perancangan Porsche untuk barisan kereta super sport berenjin tengah yang melengkapi, bukannya menggantikan, model 911.