Arkib Tag: minyak mentah

Krisis Rusia – Ukraine: Minyak mentah Brent cecah paras tertinggi

PENANDA aras minyak mentah melonjak berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat sekatan ke atas Rusia.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan pergerakan rancak tanpa henti, melonjak 3.62 peratus kepada US$117 setong.

Minyak mentah West Texas Intermediate pula meningkat 3.44 peratus kepada US$114.40 setong.

Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi US$118.22 setong sekaligus menjadikan ia tertinggi sejak Februari 2013.

Memetik laporan Bernama, pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaru sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia.

Ia membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.

Untuk rekod, Rusia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada bekalan minyak global.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) termasuk Rusia mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari pada Mac.

Harga minyak mentah global meningkat, kerajaan jamin kepentingan rakyat

RAKYAT diminta tidak gusar dengan peningkatan harga minyak mentah pasaran global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Jelasnya, terdapat pelbagai tindakan proaktif diambil kerajaan termasuk meneliti saranan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bagi meningkatkan pengeluaran petroleum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

“Mesyuarat OPEC memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluaran petroleum kepada 400,000 tong sehari.

“Ia bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global dan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan.

“Pada 1 Okober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 per liter.

“Kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, harga minyak mentah di pasaran global meningkat kepada AS$80 atau bersamaan RM334.24 setong.

Perkara ini menjadi kebimbangan rakyat yang gusar sekiranya harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel mengalami kenaikan.

Ekonomi kian pulih, OPEC+ setuju tingkat pengeluaran minyak mentah

PERTUBUHAN Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Negara-Negara OPEC dan bukan OPEC Ke-20, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan dibuat memandangkan terdapat tanda pemulihan ekonomi global.

“Menteri-Menteri OPEC bersetuju untuk meningkatkan sedikit pengeluaran minyak mentah memandangkan ada tanda-tanda pemulihan ekonomi global,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Mesyuarat dihadiri oleh 13 negara OPEC dan 10 negara sekutu dipengerusikan oleh Pengerusi OPEC Putera Abdulaziz Salman Al-Saud.

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada wakil Unit Perancang Ekonomi, Petronas dan Jabatan Peguam Negara.

Petronas antara syarikat cari gali petroleum terkemuka dunia. – Foto ihsan Facebook/Petronas

Sejak Disember 2016, Malaysia telah menyertai mesyuarat OPEC+.

Memetik laporan Bernama, harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$71.36 (AS$1=RM4.19) setong ketika ini.