Arkib Tag: minivan

smart bakal lancar model ketiga, MPV elektrik, model ujian dikesan di China

smart dilapor bakal melancarkan model ketiganya yang lebih dikenali dengan kod dalaman HY11.

Menurut laporan CarNewsChina, model ujian tersebut dikesan sedang diuji di China dengan luaran yang masih sarat dengan pelekat samaran.

Berdasarkan gambar intip, smart HY11 ini membawakan jarak kelegaan tanah yang agak rendah, binaan badan yang besar, selain membawakan gaya reka bentuk yang unik, tidak seperti model-model smart #1 dan smart #3.

 

 

Selain daripada itu, smart HY11 ini dilengkapi dengan tetapan double wishbone di hadapan, diikuti dengan buku jari stereng aluminium. Sebagai perbandingan, smart #1 dan #3 masing-masing dilengkapi dengan tetapan suspensi McPherson pada gandar depan.

Susun atur ruang kabin juga membawakan bahasa rekaan baharu.

Seperti contoh, terdapat skrin besar untuk kegunaan sistem infotainmen, diikuti dengan skrin kluster yang lebih kecil untuk pemandu, skrin paparan head-up, roda stereng tiga jejari dan tidak ketinggalan tuil pemilihan gear pada kolum stereng.

 

 

Konsol tengah yang agak tinggi itu menempatkan dua tempat meletak cawan, slot pengecasan peranti tanpa wayar.

Tempat duduk pula dilihat membawakan balutan fabrik, sementara pada bahagian panel pintu pula terdapat kemasan kayu, dan pemegang pintu yang unik.

smart HY11 ini dibina berdasarkan senibina SEA Geely yang menampilkan ciri pengecasan 800 voltan dan smart Pilot Assist 3.0.

Besar kemungkinan, ia akan dipamerkan buat kali pertama pada acara Beijing Auto Show.

 

Pengeluar London Taxi bakal tawarkan minivan elektrik, inspirasi daripada Airbus A380

Anda mungkin sekali pernah dengar salah satu jenama yang kini dimiliki oleh Geely, iaitu London Electric Vehicle Company (LEVC).

Ya, ia sebenarnya merupakan syarikat sama yang menghasilkan teksi London LEVC TX dengan spesifikasi yang lebih moden, dan dikuasakan oleh trenkuasa penambah jarak (range extender).

 

 

Kelak, LEVC bakal memperluaskan lagi perniagaan mereka dengan menawarkan produk baharu berbentuk sebuah minivan elektrik yang diinspirasikan daripada Airbus A380.

LEVC L380 (nama pun dah hampir serupa) membawakan rekaan luaran yang minimalis, di mana unit lampu utama terletak pada bahagian bampar depan, jalur LED nipis, rekaan pemegang pintu tertanam serta perumah kaca yang tinggi.

Ia dibina berdasarkan platform Space Oriented Architecture (SOA) Geely, dengan keupayaan untuk membawa enam hingga lapan orang pada satu-satu masa.

 

 

LEVC L380 akan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 268 hp yang dipadankan dengan pek bateri nickel-cobalt-manganese (NMC), besar kemungkinan berkapasiti antara 73 hingga 120 kWh.

Difahamkan, LEVC L380 akan memasuki pasaran China pada tahun hadapan sebagai pesaing kepada minivan daripada Denza, Zeekr, Trumpchi, Toyota dan juga Volvo.

 

Xpeng X9 2024, minivan mewah, kuasa sehingga 496 hp

Bertempat di acara Guangzhou Auto Show, Xpeng telah melancarkan model minivan mewah pertama mereka, iaitu Xpeng X9 2024.

Minivan dengan tujuh tempat duduk itu ditawarkan pada harga bermula dari 388,000 yuan (~RM252,579) dan bakal memberikan saingan terus kepada sebuah lagi model minivan berkuasa elektrik di China, iaitu Li Mega.


Dari segi dimensi, Xpeng X9 ini berukuran sepanjang 5,293 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).

Untuk permulaan, Xpeng X9 ini boleh didapati dalam konfigurasi motor elektrik tunggal (315 hp), atau motor elektrik berkembar (496 hp).

Selain itu, X9 juga didatangkan dengan dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu pek bateri lithium iron phosphate 84.5 kWh dengan jarak gerak 610 km, atau versi Li-ion ternary 101.5 kWh dengan jarak gerak sejauh 702 km (640 km untuk versi motor elektrik berkembar).


Antara ciri unik yang wujud pada X9 ialah ruang kargo sebesar 2,554 liter, sistem suspensi udara, serta sistem stereng gandar belakang yang membolehkan minivan ini mencapai diameter putaran sekecil 10.8 meter – terkecil di dalam kelasnya.

Papan pemuka X9 tampil dengan rekaan yang minimalis, di mana terdapat skrin kluster digital yang kecil, diikuti dengan skrin infohibur jenis terapung di bahagian tengah, serta kehadiran slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Penumpang baris kedua pula boleh menikmati tempat duduk graviti sifar, serta paparan media menerusi skrin sebesar 21.4 inci, diikuti dengan peti sejuk yang mampu ditetapkan suhu antara 0-50 darjah Celcius.

BMW lancar model 2-Series Active Tourer 2022, empat varian ditawarkan

BMW 2-Series Active Tourer 2022 secara rasmi telah dipertontonkan kepada umum.

Secara keseluruhan, minivan kali ini dilihat mempunyai rekaan menarik terutama di bahagian luaran.

Antara yang mencuri perhatian sudah pasti rekaan gril besar di bahagian hadapan selain lampu utama diod pemancar cahaya (LED) berbentuk tirus.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan saiz rim bermula dari 16 hingga 19 inci (bergantung kepada jenis varian).

Foto ihsan BMW

Berdasarkan maklumat diperoleh, BMW memaklumkan model kali ini mempunyai dimensi lebih panjang dengan ukuran 4,386 mm dan lebar pula adalah 1,824 mm.

Model BMW 2-series Active Tourer ini mempunyai keluasan ruang sekitar 470 hingga 1,455 liter jika tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 40:20:40.

Ruang kabin pula kelihatan cukup eksklusif dengan kehadiran sistem operasi iDrive 8. Ia juga memiliki paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin sentuh tengah 10.7 inci.

Foto ihsan BMW

Terdapat juga butang pandu mula, butang kecemasan, brek parkir elektronik, tuil penukaran gear kecil dan tombol rotari untuk kawalan suara sistem audio.

Berikut antara ciri lain terdapat pada BMW 2-Series Active Tourer:

Pintu tailgate elektrik

Sistem kawalan iklim dua zon automatic

Bumbung kaca panorama (optional)

Audio Harman Kardon

Cangkuk trailer elektrik

Kesemua varian BMW 2-Series Active Tourer mempunyai sistem pacuan roda depan dan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Foto ihsan BMW

Terdapat empat varian ditawarkan BMW iaitu:-

218i – enjin inline-3 1.5 liter turbo, 136 hp/230 Nm, pecutan 0-100 km/j 9.0 saat

220i – enjin inline-3 1.5 liter turbo, 170 hp/280 Nm, pecutan 0-100 km/j 8.1 saat

223i – enjin inline-4 2.0 liter turbo, 218 hp/360 Nm, pecutan 0-100 km/j 7.0 saat

218d – enjin inline-4 diesel 2.0 liter, 150 hp/360 Nm, pecutan 0-100 km/j 8.8 saat