MINI Malaysia mengumumkan ketibaan model MINI Paul Smith Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.
Model MINI Cooper SE edisi istimewa ini memfokuskan kepada bahasa rekaan ikonik “Icon with a Twist” daripada pereka fesyen Paul Smith.
Kolaborasi MINI x Paul Smith sejak 1998
Kerjasama kreatif antara MINI dan Paul Smith telah terbina sejak berdekad lamanya, bermula dengan model klasik pada tahun 1998.
Buat pertama kalinya, kerjasama ikonik ini tersedia untuk skala produksi yang lebih besar yang menggabungkan penggayaan Britain dengan keseronokan pemanduan elektrik.
Ciri unik
Antara ciri-ciri unik yang ada pada bahagian luar model ini termasuklah:
- aksen Nottingham Green pada cermin sisi, jeriji radiator dan penutup hab roda
- bumbung warna Nottingham Green
- jalur istimewa Paul Smith
- rim aloi 18 inci dengan logo Paul Smith
- emblem MINI warna Black Blue
- perkataan Paul Smith warna Anthracite Grey pada pintu tailgate
Terdapat juga lampu lopak yang memaparkan ‘hello’ tulisan tangan Paul Smith untuk menyambut ketibaan pemandu dan penumpang.
Ruang kabin MINI Paul Smith Edition pula diserikan dengan perincian berikut:
- mesej “Every day is a new beginning” tulisan tangan pada pelapik ambang pintu
- tempat duduk JCW Sports balutan upholsteri Vescin warna Nightshade Blue
- kemasan rajutan Shadow Stripe dengan logo Paul Smith
- upholsteri Shadow Stripe pada papan pemuka
- hiasan jalur kulit hitam dengan jahitan biru pada bahagian penumpang
- tiga gambar latar eksklusif rekaan Paul Smith pada skrin infohibur
Prestasi
MINI Paul Smith Edition mampu menghasilkan kuasa 218 hp dan 330 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.
Kelajuan maksimum pula sekitar 170 km/j.
Pek bateri 54.2 kWh menawarkan jarak pandu antara 387 km hingga 402 km.
Dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 95 kW, bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh masa kurang 30 minit.
Warna
Terdapat dua warna istimewa ditawarkan iaitu Inspired White dan Statement Grey.
Warna Inspired White merupakan tafsiran moden kepada salah satu warna ikonik MINI Classic Pepper White sejak awal penubuhannya.
Sementara Statement Grey pula memberikan penghormatan kepada warna MINI Austin Seven dari tahun 1959.
Harga
MINI Paul Smith Edition dijual pada harga RM222,222 atas jalan tanpa insurans, atau RM228,522 dengan pakej MINI Service & Repair.
Dengan pakej pembiayaan Easy Drive, MINI Paul Smith Edition boleh dimiliki pada harga bulanan serendah RM2,367 berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.
