Arkib Tag: Merdeka Speed Festival

Malaysia Speed Festival 2026 gegar Litar Sepang sepanjang hujung minggu Merdeka

Bersempena sambutan Merdeka ke-69, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan dengan acara tahunan Malaysia Speed Festival Merdeka Endurance.

Sepanjang hujung minggu MSF edisi ke-9 tersebut, peminat boleh menikmati beberapa perlumbaan yang telah disusun terdiri daripada lebih 200 jentera lumba empat roda dan dua roda.

MSF SuperTurismo Merdeka 11 Endurance

MSF Merdeka Endurance bakal menampilkan perlumbaan ketahanan 111 lap, bersamaan jarak sejauh 615 km mengelilingi litar 5.543 km.

Perlumbaan tersebut dibahagikan kepada tujuh kelas:

  • Super Series Limited
  • EXN GT86 x BRZ Racing Cup
  • Super Compatto
  • Standard Production
  • Standard Production MAX
  • Super Production
  • K-Series Battle

Dalam perlumbaan ini, setiap pasukan wajib menurunkan minimum dua pemandu dan melakukan dua hentian pit wajib selama tiga minit.

Dengan tempoh pemanduan bagi setiap pemandu tidak dihadkan, setiap pasukan perlu bergantung kepada strategi pra-perlumbaan yang telah dirancang.

Perlumbaan ini akan bermula pada 30 Ogos jam 5.30 petang dan berakhir sebelum tengah malam sambutan Hari Merdeka ke-69.

MotoMSF & acara perlumbaan lain

Terdapat juga perlumbaan endurans Superbikes 33 lap dengan jarak sejauh hampir 183 km tanpa henti pada hari Ahad.

Perlumbaan Superbikes ini akan turut menampilkan pasukan 2 pelumba dengan hentian pit wajib setiap 8 lap, bermula jam 11.30 pagi hingga 2.00 petang.

Selain itu, perlumbaan lain yang turut tersenarai termasuklah:

Sabtu, 29 Ogos: 

  • dua perlumbaan 5-lap kelas Super Unlimited
  • perlumbaan 8-lap Skilldrvn One Make Race Series

Ahad, 30 Ogos: 

  • perlumbaan 7-lap American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft
  • perlumbaan 10-lap Skilldrivn One Make Race Series
  • Merdeka 75 Cup (Saga Cup, Myvi Cup, Campro Cup dan Tuner Production)
Menurut Adian Yein Khalid selaku Prinsipal MSF, “Acara Merdeka Race telah berkembang pesat, dan mampu menganjurkan perlumbaan tahunan 111-lap merupakan satu pencapaian bermakna buat MSF.
“Apa yang menjadikan perlumbaan ini istimewa ialah dapat menghimpunkan pelumba veteran, muka baharu, pasukan yang terkemuka dan berpengalaman di dalam grid yang sama.
“Ia merupakan ujian sebenar tentang kelajuan, konsistensi, strategi dan kerja berpasukan.

Harga tiket

Pas paddock boleh dibeli pada harga RM45 untuk akses dari 10 pagi hingga 11 malam, sementara kanak-kanak bawah 12 tahun boleh masuk secara percuma.

Selain menyaksikan aksi perlumbaan dan memasuki ruang paddock, pengunjung juga boleh menikmati ruang food truck serta membeli barangan bertemakan sukan permotoran.