Arkib Tag: MBM

GLA facelift 2021 dilengkapi sistem MBUX, harga dari RM232,379

MINGGU lalu Mercedes-Benz Malaysia (MBM) berjaya melancarkan model crossover GLA facelift 2021 iaitu GLA 200 Progressive Line dan GLA 250 AMG Line.

Engear antara rakan media menyaksikan pelancaran kedua-dua varian pemasangan tempatan (CKD) ini bertempat di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Sentul.

Berdasarkan pemerhatian, model GLA terbaharu ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan produk Mercedes-Benz lain.

Foto ihsan MBM

Mengapa? Jom kita lihat spesifikasi kedua-dua varian ini!

GLA 200 menggunakan enjin Renault M282 1.3 liter turbocas petrol empat-silinder.

Ia mampu menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm.

Model ini mampu mencapai pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

GLA 250 pula dilengkapi enjin Mercedes M260 2.0 liter yang mampu mencapai 224 PS pada 5,500 rpm dan 350 Nm antara 1,500 dan 4,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 240 km/j.

Foto ihsan MBM

Selain itu, kedua-dua model ini dilengkapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan skrin 10.25 inci berkembar.

Sistem MBUX menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang mana beberapa fungsi utama seperti penghawa dingin dan navigasi boleh dikawal menggunakan suara.

Pada masa sama, ia mempunyai sistem tanpa kunci dengan fungsi Push Start button, kamera undur, bantuan parkir dan kerusi depan dilengakapi fungsi memori.

Bagaimana pula dengan harga?

Model GLA 200 dijual pada harga RM232,379 (atas jalan tanpa insurans) sementara GLA 250 AMG Line RM266,164.

Harga ini berdasarkan kepada pengecualian cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga Jun tahun depan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Krisis bekalan semikonduktor, ada pelanggan Mercedes tunggu lebih setahun

KRISIS bekalan semikonduktor makin memuncak dengan terbaharu syarikat pengeluar Mercedes menjadi ‘mangsa’.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Mercedes berkata, kekurangan bekalan semikonduktor menjejaskan proses pengeluaran kenderaan sekaligus menyebabkan tempoh menunggu lebih lama.

Jelas Ola Källenius lagi, apa yang lebih membimbangkan terdapat pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh lebih setahun untuk mendapatkan kenderaan ditempah.

“Mercedes-Benz mendapat permintaan tinggi dan kami sedang berdepan kekurangan bekalan semikonduktor yang sangat meruncing.

“Terdapat beberapa kes yang mana ada pelanggan terpaksa menunggu sehingga setahun,” katanya.

Terdapat pelanggan Mercedes terpaksa menunggu lebih setahun untuk memiliki kenderaan dibeli. – Foto ihsan Mercedes-Benz

Industri automotif global berdepan isu kekurangan bekalan semikonduktor sejak berlaku penularan pandemik Covid-19.

Ia menyebabkan kebanyakan kilang pengeluaran semikonduktor terpaksa menangguhkan operasi sekaligus memberi kesan kepada penawaran alat itu.

Setakat ini, terdapat jangkaan bahawa gangguan bekalan semikonduktor dijangka berlarutan sehingga 2023.

Sagree Sardien yakin Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dapat menangani krisis kekurangan bekalan semikonduktor. – Foto oleh MBM

Sementara itu, media tempatan melaporkan Mercedes-Benz Malaysia bagaimanapun tidak terkesan dengan masalah kekurangan semikonduktor.

Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien berkata, kenderaan model CKD tidak terjejas namun, berkemungkinan terdapat sedikit kelewatan untuk proses penyerahan kepada pelanggan.

Mercedes E-Class facelift 2021 dilancar di Malaysia, CKD, harga bermula RM327k

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) secara rasmi telah melancarkan E-Class 2021. Walaupun hanya facelift untuk generasi W213, sedan eksekutif ini nampak seperti serba baharu dan agak banyak perubahan diberikan.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, dua varian diperkenalkan untuk pasaran Malaysia:

E200 Avantgarde: RM326,943.19
E300 AMG Line: RM375,432.19

Harga adalah atas jalan tanpa insurans, selepas pengecualian cukai. E-Class facelift ini juga dipasang secara CKD di kilang pemasangan MBM di Pekan, Pahang.

Rupa luaran lebih segar

Di bahagian luaran, E-Class W213 facelift dapat dibezakan dari gril yang lebih nipis dengan rekaan berbeza mengikut varian. Untuk Avantgarde, gril nipis dengan dua krom melintang, manakala untuk AMG Line, bentuknya sedikit berbeza dengan satu krom melintang dan logo besar di tengah.

Avantagarde menampilkan rekaan keseluruhan lebih ‘baik’ dan eksekutif dan AMG Line seperti biasa mempunyai penampilan lebih agresif dan sporti.

MBM juga memperkenalkan dua warna baharu untuk W213 kali ini iaitu Grey Metallic dan High-Tech Silver.

E200 datang standard dengan lampu LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, dan rim 18-inci. E300 pula mendapat lampu LED Multibeam dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta rim AMG 19-inci 5-bilah berkembar.

M264 2.0-liter

Memikul tugas pemberian kuasa ialah unit M264 2.0-liter turbo yang menghasilkan output berbeza untuk E200 dan E300.

E200 Avantgarde
Kuasa: 194hp @ 5,500-6,100rpm
Tork: 320Nm @ 1,650-4,000rpm
0-100: 7.4 saat
kelajuan maksima: 240km/j

E300 AMG Line
Kuasa: 255hp @ 5,800-6,100rpm
Tork: 370Nm @ 1,800-4,000rpm
0-100: 6.2 saat
Kelajuan maksima: 250km/j

Kotak gear adalah 9G-tronic 9-kelajuan, standard untuk kedua-dua model, serta Dynamic Select Drive dan suspensi Agility Control.

Kabin lebih canggih

Rekaan kabin tidak berubah dari sebelum ini, tetapi yang berbeza ialah sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), standard 12.3-inci untuk kedua-dua varian.

E200 dilengkapi stereng kulit Nappa, kemasan kayu pada papan pemuka, penghawa dingin dwi-zon Thermatic, dan kemasan kulit Artico.

E300 pula didatangkan dengan tempat duduk Nappa, balutan kulit Artico dengan kayu hitam, penghawa dingin tiga-zon Thermotronic, dan sistem audio Burmester.

Untuk ciri keselamatan pula, kedua-dua model dibekalkan dengan ciri terkini Mercedes. E200 dilengkapi kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Blind Spot Assist, Keyless-Go, Pre-Safe dan Active Brake Assist.

Sementara itu, E300 ditambah dengan kamera 360-darjah, serta Driving Assistance Package, yang merangkumi Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus.

Sardien presiden dan CEO baharu Mercedes-Benz Malaysia, tekad kerja keras

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan pelantikan Sagree Sardien sebagai presiden dan ketua pegawai operasi (CEO) baharu bermula 1 Jun lalu.

Pelantikan Sardien bagi menggantikan Claus Weidner yang memegang jawatan itu sejak 2015.

MBM dalam satu kenyataan turut mengumumkan pelantikan Sardien sebagai Ketua Seratau Mercedes-Benz Asia Tenggara II.

Sardien mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang automotif dan memulakan kerjaya sebagai Ketua Operasi Pengurusan Armada Daimler di Afrika Selatan.

Selain itu, Sardien turut pernah memegang pelbagai jawatan utama di dalam organisasi Daimler sebelum berpindah ke Stuttgart, Jerman.

Memetik kenyataan Sardien, dia berharap Mercedes-Benz terus kukuh di rantau ini selain menjadi jenama premium paling disegani.

Saya amat teruja untuk menyertai pasukan Mercedes-Benz Malaysia dan rantau SEA II.

“Mercedes-Benz berjaya tampil kukuh dalam segmen automotif premium di rantau ini.

“Saya tidak sabar untuk menyumbang kepada pelaksanaan cita-cita kami bagi membentuk masa depan mobiliti dan menyokong transformasi persekitaran automotif,” katanya.

Sementara itu, Edmin Naidoo turut dilantik Naib Presiden Khidmat Pelanggan MBC Malaysia & SEA II berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Naidoo menggantikan Jeffrey Simon dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri ini.