Arkib Tag: Mazda Malaysia

Mazda 3 1.5L diperkenalkan semula di Malaysia – sedan & hatchback, dari RM118,900

Bermaz Motor mengumumkan kemunculan semula model Mazda3 versi enjin 1.5 liter dengan spesifikasi yang ditambah baik dan ciri premium.

Model segmen C ini boleh didapati dalam bentuk badan sedan dan hatchback.

Enjin 1.5 liter SkyActiv-G aspirasi semula jadi (NA) itu mampu menjana kuasa setinggi 118 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 153 Nm @ 4,000 rpm yang memacu roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan.

Dengan tangki bahan api sebesar 51 liter, Mazda3 mampu memberikan bacaan penggunaan serendah 5.8 liter per 100 km.

Antara kelengkapan yang dibekalkan termasuklah G-Vectoring Control Plus Technology, unit lampu utama LED automatik, rim aloi 18 inci, serta sistem kemasukan tanpa kunci.

Ruang kabin pula menempatkan skrin MID TFT sebesar tujuh inci, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, serta corong pendingin hawa baris kedua.

Mazda3 turut mendapat upholsteri balutan kulit pada roda stereng, tempat duduk balutan kulit larasan kuasa 10-tahap untuk pemandu dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang larasan enam-tahap manual, paddle shifter, serta skrin paparan head-up berwarna.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HLA), Peringatan Tali Pinggang Keledar, cagak ISOFIX dan fungsi Auto Hold.

Ia juga turut mendapat kelengkapan ADAS i-Activsense merangkumi fungsi seperti:

  • Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBC)
  • Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDWS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
  • Sokongan Brek Pintar Depan dan Belakang (SBS)
  • Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
  • Sokongan Jelajah & Trafik (CTS)

Terdapat beberapa pilihan warna termasuklah Soul Red, Polymetal Gray, Jet Black, Platinum Quartz, dan Machine Gray,

Diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU), Mazda3 kini dibuka untuk tempahan dengan harga jualan bermula dari RM118,900.

 

Mazda3 2026 1.5L Sedan

Mazda3 2026 1.5L Hatchback

Gambar rasmi Mazda3 2026 1.5L 

Mazda BT-50 2025 facelift rasmi di Malaysia – harga dari RM138,000

Bermaz Motor selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Mazda di Malaysia melancarkan trak pikap Mazda BT-50 versi facelift untuk pasaran tempatan.

Secara visual, perubahan yang dibawakan pada BT-50 ini merangkumi perkara berikut:

  • struktur jeriji baharu dengan logo Mazda yang lebih besar
  • unit lampu utama dengan DRL berbentuk L berkembar
  • bampar hadapan kini dengan komponen tirai udara
  • lampu belakang LED baharu
  • logo krom Mazda yang lebih besar di belakang
  • rim rekaan baharu

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital sebesar tujuh inci, skrin infohibur 9-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, port pengecasan USB, kawalan iklim dua zon, serta corong pendingin hawa baris kedua.

Kelengkapan lain termasuklah upholsteri kulit, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa 8-tahap, tempat duduk penumpang hadapan larasan manual 4-tahap, serta tuil brek parkir manual.


Trak pikap ini masih mengekalkan nadi diesel 3.0 liter turbo menghasilkan 188 hp @ 3,600 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 1,600-2,600 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda (4WD).

Aspek pemanduan dibantu dengan ciri seperti mod Rough Terrain, Kawalan Menurun Cerun (HDC), pilihan tetapan pacuan (2WD/4WD High/4WD Low) dan Kekunci Pembeza Belakang.

Dengan tangki bahan api berkapasiti 76 liter, BT-50 menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 7.76 liter per 100 km.

Ciri keselamatan yang didatangkan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Peringatan Tali Pinggang Keledar, serta fungsi ADAS i-Activsense seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Bantuan Tumpuan Pemandu (DAA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDWS)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Terdapat lima warna pilihan iaitu Concrete Gray Mica, Vermilion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl dan Sailing Blue Mica.

Unit import sepenuhnya (CBU) dari Thailand ini dijual pada harga bermula dari RM138,000.