Arkib Tag: Mazda CX-5

Mazda CX-5 2026 – generasi ketiga tampil rekaan lebih mewah, kabin minimalis

Setelah sembilan tahun generasi kedua Mazda CX-5 menguasai jalanan, Mazda kini sedia untuk memperkenalkan generasi ketiga SUV saiz kompak tersebut ke dunia.

Tidak banyak perincian didedahkan, namun yang pasti generasi baharu CX-5 ini menawarkan pakej dimensi yang lebih besar, rekaan Kodo yang diperbaharui serta susun atur ruang kabin serba baharu.

Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang Mazda CX-5 2026:

 

Dimensi

CX-5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm (+140 mm), lebar 1,860 mm (+20 mm), serta tinggi 1,695 mm (+10 mm).

Jarak antara roda pula sekitar 2,775 mm (+75 mm).

Perubahan ukuran ini dilihat memberikan kesan kepada ruang kabin yang nampak lebih lapang dan luas, serta ruang kargo yang lebih besar (+61 liter).

 

Rekaan luar

Tidak dinafikan, rekaan Kodo yang dibawakan pada CX-5 terdahulu (2016-2025) merupakan antara hasil kerja Mazda yang paling cantik.

Untuk generasi ketiga, pendekatan tersebut telah diolah semula untuk penampilan yang lebih bergaya, terutama jeriji Signature Wing, lampu yang lebih bersegi dan bampar yang lebih sporti.

Bahagian belakang pula kini lebih mirip kepada abangnya CX-70/CX-80, namun logo Mazda telah dibuang dan kini digantikan dengan perkataan MAZDA sahaja.

 

Kabin minimalis

Mazda sentiasa terkenal dengan pendekatan rekaan kabin yang minimalis untuk model-model terbaharunya, dan CX-5 2026 tidak terkecuali.

Susun atur papan pemuka kini lebih ringkas, di mana bahagian tengah kini menempatkan skrin sebesar 15.6 inci yang lengkap dengan sistem Google terbina.

Sayang sekali, Mazda terlalu serius dalam usaha untuk meminimumkan kehadiran butang fungsi, sehinggakan segala kawalan kini disumbatkan ke dalam skrin besar itu tadi.

Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital 10.25 inci di sebalik roda stereng yang kini tidak lagi mempunyai logo M.

Untuk varian yang lebih rendah, Mazda menawarkan skrin tengah sebesar 12.9 inci.

 

Pilihan enjin

Mazda CX-5 2026 akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin.

Nadi Skyactiv-G 2.5 liter (187 hp/251 Nm) sedia ada akan terus dikekalkan, sementara di Eropah pula terdapat versi hibrid ringan e-Skyactiv G 2.5 liter (140 hp/238 Nm).

Mazda turut mengesahkan varian hibrid akan dibekalkan dengan enjin Skyactiv-Z serba baharu yang menjanjikan prestasi dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.

Generasi baharu CX-5 ini akan mula menerjah pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini, diikuti pasaran lain menjelang akhir tahun 2026.

Mazda CX-5, buruan pencinta SUV!

Memperkatakan mengenai segmen SUV, Mazda antara syarikat pengeluar kenderaan yang tampil kompetetif dengan model CX-5.

Gaya moden dan sporty menjadikan Mazda CX-5 sentiasa ‘diburu’ oleh kebanyakan peminat kenderaan segmen SUV.

Jadi, apakah kelebihan yang terdapat pada Mazda CX-5?

Mazda CX-5 didatangkan dengan pelbagai ciri menarik termasuk Monitor LCD 7.0 inci, sunvisor, Dual Climate Control Air, panel instrumen illuminasi, cruise control dan banyak lagi.

Kerusi ruang hadapan pula cukup selesa untuk pemanduan memandangkan ia menyokong badan di bahagian pinggang untuk lebih keselesaan. Selain itu, Ia juga dilengkapi dengan stereng boleh laras untuk sudut dan capaian supaya lebih selesa selain memberi penguasaan menyeluruh kepada pemandu.

Reka bentuk luaran Mazda CX-5 juga agak ringkas yang secara tidak langsung menampakkan ia lebih eksklusif. Pada masa sama, rekaan ini turut digunakan pada beberapa model Mazda lain yang boleh dianggap sebagai satu ‘konsep rekaan keluarga.’

Sementara itu, CX-5 adalah satu-satunya model yang menggunakan rekaan seperti jaring pada bahagian dalam gril berwarna hitam sekaligus membuatkan logonya kelihatan seperti terapung!

Sejauh mana keselesaan pemanduan Mazda CX-5?

Berdasarkan pemerhatian ramai, Mazda CX-5 tidak hanya mengutamakan keselesaan semasa memandu tetapi turut mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Ini dibuktikan dengan ciri-ciri keselamatan seperti:-

  • 6 SRS (Supplementary Restraint System)
  • Airbags
  • 3-point seatbelts & headrests on all seats
  • Antilock Brake System (ABS)
  • Electric Brakeforce Distribution (EBC)
  • Emergency Brake Assist (EBA)
  • Dynamic Stability Control (DSC)
  • Traction Control System (TCS)
  • Tire Pressure Monitoring (TPM) System
  • Lane-keep Assist system (LAS)
  • Idling stop system Mazda (i-STOP)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Lane Departure Warning System
  • Blind Spot Monitoring System (BSM)
  • Smart City Brake Support (SCBS)

 

 

Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model Mazda CX-5 amat mengagumkan selain mampu memberi keselesaan menyeluruh kepada pemandu dan penumpang. — Foto ihsan Facebook/Mazda CX-5 Malaysia

Mazda sememangnya serius mengenai tahap keselamatan, ini dapat dilihat dengan teknologi keselamatan lanjutan i-ActivSense yang membantu pemandu untuk mengelak kemungkinan bahaya dan meminimumkan kerosakan akibat kesan pelanggaran.

Sistem SCBS pula dapat memantau kedudukan kenderaan di bahagian hadapan bagi mengelak kemungkinan pelanggaran. Sekiranya risiko tinggi dikesan, ia memberi amaran bunyi ‘bip’ untuk respon yang lebih cepat. Sekiranya pemandu tidak memberi sebarang respon, SCBS akan diaktifkan secara automatik.

Driver Attention Alert (DAA) pula berfungsi untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh keletihan pemandu dan BSM memberi amaran kehadiran kenderaan dari arah belakang dan atau bersebelahan.

Beralih kepada pengendalian, Mazda CX-5 didatangkan dengan sistem Electric Power Steering Assist (EPSA) yang dapat memberi maklum balas setara dengan Hydraulic Power Steering (HPS). Sistem ini membuatkan stereng menjadi ringan dan boleh dikendalikan hanya dengan menggunakan hujung jari sahaja!

Justeru, tidak dapat disangkal Mazda CX-5 adalah sebuah SUV yang berbaloi untuk dimiliki.

Jika anda seorang pencinta SUV, Mazda CX-5 seharusnya berada dalam check list memandangkan rating yang diberikan adalah 7.25/10.

Kepada pencinta SUV…selamat ‘memburu!’