Arkib Tag: Maverick Vinales

Vinales bebas atur masa depan, Yamaha tamatkan kontrak serta-merta

YAMAHA secara rasmi menamatkan kontrak bersama pelumbanya Maverick Vinales berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu hadir selepas Yamaha memutuskan tidak menggunakan khidmat Vinales pada perlumbaan British Grand Prix MotoGP pada 26 sehingga 29 Ogos ini.

Tindakan Yamaha itu sememangnya sudah dijangka walaupun Vinales membuat keputusan menamatkan kontrak setahun lebih awal yang berakhir hujung musim ini.

“Di Assen kami telah capai kata sepakat bahawa kontrak akan ditamatkan setahun lebih awal iaitu pada hujung musim ini.

“Bagaimanapun, amat mengecewakan perlumbaan tidak berlaku dengan baik di GP Styria dan lebih baik kedua pihak (Vinales) tamatkan perjanjian lebih awal.

“Ia juga bagus untuk Vinales menentukan haluannya tanpa sebarang kekangan dan terus fokus mencorak kerjayanya,” kata Pengarah Urusan Yamaha Moto Racing, Lin Jarvis.

Maverick Vinales pelumba paling kontroversi pada musim ini. – Foto ihsan Wikipedia

Konflik Yamaha dan Vinales bukan lagi rahsia apabila pelumba itu disering meluahkan rasa kecewa dengan pasukan diwakilinya.

Pada perlumbaan Styria, Vinales dilihat cuba melakukan kerosakan pada jenteranya sekaligus mengundang bahaya.

Susulan insiden itu, Vinales yang pada mulanya ‘mengunci’ mulut meluahkan rasa kesal dan memohon maaf kepada Yamaha.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui tindakan dilakukan kerana sukar untuk membendung kekecewaan terhadap pasukannya.

Maverick Vinales ketika di MotoGP TT Assen yang merupakan perlumbaan terakhirnya bersama pasukan Monster Energy Yamaha. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Vinales dalam satu kenyataan mengambil maklum mengenai keputusan terbaharu Yamaha.

Vinales mengucapkan terima kasih kepada Yamaha di atas peluang diberikan selama ini selain mendoakan agar pasukan diwakilinya sejak 2017 terus berjaya dalam MotoGP.

“Terima kasih kepada Yamaha untuk tempoh lebih empat tahun ini dan segala kejayaan pernah tercipta akan terus dikenang.

“Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mendoakan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.

Krisis dengan Yamaha, Vinales sah sertai pasukan Aprilia musim depan

PELUMBA MotoGP Maverick Vinales sah berhijrah ke pasukan Aprilia Racing musim depan.

Aprilia Racing dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat sebagai usaha meningkatkan prestasi pasukan itu dalam saingan MotoGP.

“Vinales merupakan penunggang bertaraf dunia dan sangat berbakat.

“Tumpuan kami kini adalah meningkatkan prestasi dengan kehadiran Vinales sekaligus memberi cabaran sengit dalam saingan MotoGP,” kata Ketua Pegawai Operasi Aprilia Racing Massimo Rivola.

Vinales merupakan pelumba pasukan Yamaha sejak tahun 2017 dan pernah bergandingan dengan legenda MotoGP, Valentino Rossi.

Mencipta beberapa kejayaan bersama pasukan Yamaha, pelumba itu bagaimanapun dihimpit pelbagai kontroversi baru-baru ini.

Ia susulan krisis dalaman Vinales dan pasukannya sehingga menyaksikan pelumba itu direhatkan pada perlumbaan minggu lalu di Austria.

Pada perlumbaan MotoGP Styria, Vinales didapati sengaja menunggang dalam keadaan berbahaya selain wujud cubaan merosakkan jenteranya.

Namun, pelumba itu kemudian memohon maaf kepada Yamaha selain mengakui ia merupakan tindakan tidak profesional.

Antara kejayaan pernah dikecapi Vinales termasuk bergelar juara dunia pada tahun 2011 bagi kategori 125cc.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu juga pernah berlumba bagi pasukan Suzuki pada tahun 2015 sebelum menyertai Yamaha dua tahun kemudian

Maverick Vinales ketika bersama pasukan Suzuki. – Foto ihsan Wikipedia