Arkib Tag: Marc Philipp Gemballa Marsien

Marc Philipp Gemballa Marsien GT 2027 – Jentera GT 830hp dari Porsche 911 Turbo S, hanya 30 Unit

Selepas berjaya dengan Marsien dan menyerahkannya kepada pelanggan di lebih 16 negara, Marc Philipp Gemballa kini tampil mempersembahkan Marsien GT.

Evolusi terbaru ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan jalan raya.

Dibangunkan sebagai model kedua dalam portfolio syarikat, Marsien GT mengekalkan falsafah eksklusif menerusi pengeluaran terhad iaitu hanya 30 unit di seluruh dunia.

Bersama 40 unit Marsien asal, jumlah keseluruhan siri Marsien dihadkan kepada 70 buah, sebagai penghormatan ulang tahun ke-70 tokoh automotif, Uwe Gemballa.

Marc Philipp Gemballa merupakan anak kepada mendiang Uwe Gemballa.

Marsien GT akan membuat kemunculan sulung di Monterey Car Week 2026.

Pengeluaran dijadualkan bermula pada 2027 dengan penghantaran pertama kepada pelanggan pada penghujung tahun.

Evolusi Daripada Off-Road Kepada Grand Touring

Marsien asal diinspirasikan oleh era rali Paris-Dakar dengan keupayaan pemanduan di laluan berturap mahupun off-road.

Bagi Marsien GT pula, ia dibangunkan sebagai sebuah grand tourer (GT) berprestasi tinggi yang mengutamakan pengendalian di atas jalan raya.

Walaupun masih menggunakan platform Marsien yang dihomologasikan sepenuhnya, keseluruhan talaan casis, aerodinamik dan suspensi telah direka semula.

Penambahbaikan ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih tajam, stabil serta sesuai digunakan setiap hari.

Hampir 1,500 Komponen Baharu

Asas kepada Marsien GT ialah Porsche 911 Turbo S (992) sebelum menjalani proses transformasi menyeluruh.

Menurut Marc Philipp Gemballa, sekitar 1,500 komponen baharu direka dan dihasilkan khusus untuk model ini, termasuk:

  • Panel badan gentian karbon
  • Suspensi doublewishbone khas
  • Sistem ekzos titanium
  • Lampu belakang
  • Pendawaian
  • Sistem aerodinamik
  • Casis
  • Kemasan dalaman
  • Pelbagai komponen mekanikal lain

Keseluruhan proses pembangunan mengambil masa ribuan jam kejuruteraan bagi menghasilkan sebuah kereta koleksi yang benar-benar berbeza daripada model asas Porsche.

Lebih 100 Panel Gentian Karbon, Berat Berkurang 75kg

Bahagian luaran menggunakan lebih 100 komponen gentian karbon, termasuk:

  • Panel badan
  • Saluran udara
  • Pelapik ruang roda
  • Cermin sisi
  • Panel belakang yang memanjang dari tiang-A hingga ke sayap belakang

Rekaan baharu turut memperkenalkan pelbagai elemen aerodinamik aktif seperti:

  • Liang fender hadapan aktif (Active front fender louvres)
  • Sayap belakang aktif (Active rear wing)
  • Skup bumbung (Roof scoop)
  • Saluran kemasukan udara (Ram air intake)
  • Saluran udara pada skirt sisi
  • Bahagian bawah badan gentian karbon sepenuhnya

Hasilnya, berat keseluruhan berjaya dikurangkan sebanyak 75kg berbanding Porsche 911 Turbo S standard.

Reka bentuk luaran sekali lagi dihasilkan oleh Alan Derosier, individu yang turut bertanggungjawab menghasilkan rekaan Marsien pertama.

Aerodinamik Aktif Dengan Sistem Pneumatik

Marsien GT menerima sistem aerodinamik aktif serba baharu yang dikendalikan menggunakan tekanan udara pneumatik.

Liang pada fender hadapan membantu melepaskan udara bertekanan tinggi daripada ruang roda bagi mengurangkan daya angkat gandar hadapan serta pergolakan udara.

Di belakang, sayap aktif dipasang pada sudut yang lebih agresif untuk meningkatkan daya mendap dan kestabilan pada kelajuan tinggi, selain turut berfungsi sebagai brek udara ketika membrek kuat.

Skup bumbung pula menyalurkan udara bersih terus ke intercooler, manakala saluran saluran kemasukan udara membekalkan udara kepada sistem kemasukan enjin.

Bukaan udara pada skirt sisi pula membantu menyejukkan brek belakang.

Suspensi Baharu Bersama KW Automotive

Berbeza dengan Marsien yang direka untuk pelbagai permukaan jalan, Marsien GT menggunakan sistem suspensi yang ditala khusus untuk prestasi di jalan raya.

Pembangunan bersama KW Automotive menghasilkan suspensi hadapan double wishbone, yang dipadankan dengan penyerap hentak elektronik berasaskan teknologi KW DDC V5.

Sistem itu mampu melaras daya mampatan dan lantunan secara bebas dalam tempoh hanya 20 milisaat, membolehkan kereta menyesuaikan diri dengan keadaan jalan secara masa nyata.

Turut disediakan ialah sistem front axle lift yang boleh menaikkan bahagian hadapan sebanyak 60mm untuk melepasi bonggol atau laluan curam.

Dalam keadaan biasa, Marsien GT mempunyai kelegaan tanah 100mm.

Pemandu juga boleh memilih beberapa mod pemanduan yang akan melaras talaan enjin, transmisi dan suspensi secara automatik.

Kereta ini dipasang dengan rim tempa enam jejari bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dipadankan bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Enjin RUF Lebih 830hp

Seperti Marsien terdahulu, pembangunan enjin diteruskan bersama pakar Porsche terkenal, RUF Automobile.

Enjin enam silinder boxer pengecas turbo berkembar menerima turbo VTG lebih besar, talaan ECU baharu dan penentukuran transmisi khusus

Hasilnya, kuasa meningkat kepada lebih 830hp dengan tork maksimum 930Nm.

Marc Philipp Gemballa turut mengesahkan satu lagi pakej naik taraf sedang dibangunkan yang bakal menghasilkan lebih 900hp.

Menurut spesifikasi rasmi, Marsien GT mampu mencapai 0-100 km/j dalam sekitar 2.4 saat dan kelajuan maksimum mencecah 330 km/j

Ekzos Titanium Akrapovič

Sistem ekzos menggunakan rekaan empat muncung baharu yang dihasilkan sepenuhnya daripada titanium oleh Akrapovič.

Selain mengurangkan berat, ia turut memberikan karakter bunyi yang lebih agresif dan melengkapkan prestasi enjin yang dibangunkan oleh RUF.

Kabin Lebih Mewah dan Lebih Analog

Ruang dalaman menampilkan konsol tengah yang lebih tinggi bersama tuil gear aluminium yang diinspirasikan daripada Carrera GT untuk pengalaman pemanduan yang lebih mekanikal.

Pelanggan turut boleh memilih tombol gear daripada gentian karbon terdedah, kayu mahogani, kulit atau alcantara.

Antara pilihan lain termasuk:

  • Pakej gentian karbon dalaman
  • Rangka keselamatan (roll bar) Clubsport
  • Kemasan kulit atau Alcantara mengikut tempahan
  • Plat nombor pengeluaran individu pada konsol tengah

Model pelancaran menggunakan kombinasi Alcantara kelabu gelap, tempat duduk bucket gentian karbon serta riasan gentian karbon kemasan kusam.

Harga Bermula Sekitar RM3.88 Juta (Tidak Termasuk Porsche)

Marsien GT dihadkan kepada hanya 30 unit dengan harga bermula €770,000 (RM3.88 juta) tidak termasuk harga Porsche 911 Turbo S, cukai, duti import dan kos penghantaran.

Pengeluaran akan bermula pada 2027, manakala penghantaran pertama dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun yang sama.

Spesifikasi Ringkas Marc Philipp Gemballa Marsien GT

  • Model Asas: Porsche 911 Turbo / Turbo S (992)
  • Enjin: 3.8L enam silinder boxer twin-turbo (RUF)
  • Kuasa Maksimum: Lebih 830hp (pilihan 900hp+)
  • Tork Maksimum: 930Nm
  • Sistem Pacuan: Semua roda (AWD)
  • Pecutan (0-100 km/j): 2.4 saat
  • Kelajuan Maksimum: 330 km/j
  • Sistem Suspensi: Double wishbone (hadapan), pelbagai pautan (belakang)
  • Penyerap Hentak: KW DDC V5 elektronik
  • Sistem Ekzos: Titanium empat muncung Akrapovič
  • Saiz Rim: 20 inci (hadapan) / 21 inci (belakang)
  • Pilihan Tayar: Michelin Pilot Sport Cup 2
  • Bahan Badan: Gentian karbon penuh dengan aerodinamik aktif
  • Pengurangan Berat: 75kg lebih ringan berbanding Porsche 911 Turbo S