Arkib Tag: mangusta

Filipina mula terima dua unit pertama helikopter tempur T129 ATAK

SELEPAS beberapa kali penangguhan, dua unit pertama helikopter tempur T129 ATAK akan diterima oleh Filipina. Perkara ini disahkan oleh wakil dari Turkish Aerospace (TAI).

Temel Kotil, pengurus TAI berkata dua unit yang diterima pada Sabtu lepas merupakan kumpulan pertama dari enam unit yang dibeli oleh Tentera Udara Filipina yang sepatutnya diterima pada Disember lepas.

T129 ATAK. Sumber: Tentera Udara Filipina

Sementara itu, Arsenio Andolong, jurucakap Department of National Defense (DND) sebelum ini berkata dua unit seterusnya dijangka diterima pada 2023, manakala baki dua unit pada 2024.

Apabila memasuki perkhidmatan nanti, kesemua enam helikopter tempur itu akan ditempatkan di 15th Strike Wing of the Philippine Air Force.

Pada Julai 2020, DND menandatangani kontrak perolehan enam T129B ATAK dari firma TAI, dengan perjanjian kerajaan-ke-kerajaan bernilai P13.7 bilion (RM1.12 bilion) dengan kementerian pertahanan Turki.

TAI T129B ialah helikopter tempur dari versi asal AgustaWestland A129 Mangusta buatan Itali, tetapi telah diberikan sistem dan persenjataan Turki.

Ianya merupakan helikopter tempur berenjin kembar, pelbagai fungsi, menggunakan konfigurasi tempat duduk tandem dan mampu melaksanakan misi dalam semua keadaan cuaca, siang dan malam.