Arkib Tag: mahkamah

Lelaki ini dapat pampasan RM721,000 selepas cedera langgar jalan berlubang

ANDA pasti biasa menyumpah apabila kereta atau motosikal yang anda naiki melanggar lubang di jalan raya. Lebih buruk lagi jika lubang jalan ray aitu boleh menyebabkan kemalangan sekiranya anda melalui atau cuba mengelaknya.

Gambar hiasan.

Bagaimana jika kami beritahu anda boleh mendapat pampasan bernilai ratusan ribu ringgit apabila cedera melanggar jalan raya berlubang itu?

Begitulah yang berlaku terhadap seorang lelaki di Johor Bahru. Beliau yang berusia 49 tahun itu dianugerahkan RM721,000 untuk ganti rugi dan kecederaan yang dialami selepas motosikalnya merempuh jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai, tiga tahun lalu.

Ia selepas sebuah syarikat penyelenggaran jalan diarahkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk membayar ganti rugi tersebut kelmarin.

Gambar hiasan. Kredit: Malay Mail

Hakim, Sazlina Safie, membuat keputusan itu selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai pada kira-kira jam 10 malam, apabila terlanggar jalan berlubang di permukaan jalan berkenaan mengakibatkan plaintif terjatuh dan cedera.

Beliau memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

Pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

Sazlina dalam keputusannya, berkata syarikat terbabit juga gagal memfailkan sebarang hujah bertulis atau lisan walaupun beberapa kali penangguhan.

Beliau berkata, plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

“Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Feb 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.

“Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

“Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman semalam .

Beliau berkata, syarikat itu berhujah bahawa lubang itu bukan tanggungjawab mereka kerana ia milik syarikat utiliti dan sepatutnya diselenggara subkontraktor atau pihak lain.

“Di sebalik dakwaan itu, syarikat gagal memulakan sebarang prosiding pihak ketiga terhadap mana-mana kontraktor atau pihak yang berkaitan dalam saman ini.

“Mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian,” katanya.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

“Oleh itu, Mahkamah menganugerahkan plaintif RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am,” katanya.

Saman ekor boleh dipertikai di mahkamah – Pakar undang-undang

Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.

Beliau bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.

Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.

“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.

“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran. Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.

Kesalahan trafik: Polis boleh dakwa di mahkamah guna bukti video, foto

POLIS boleh menggunakan pendekatan mengumpul bukti melalui gambar dan video untuk tujuan pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan lalu lintas.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Pada masa sama, Azisman menggesa anggota polis berhati-hati ketika menjalankan operasi banteras lumba haram.

Jelasnya, anggota polis turut dinasihatkan tidak berdepan dengan kumpulan lumba haram kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri.

“Walaupun polis tidak dapat membuat penahanan pada hari yang sama tetapi bukti-bukti ini boleh digunakan untuk pihak polis melakukan tahanan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azisman berkata demikian bagi mengulas insiden dua anggota polis maut ketika menjalankan operasi cegah lumba haram di Kajang, Selangor.

Pada Ahad, dua anggota polis terkorban ketika mengejar pelumba haram di kilometer 24.4 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang ke Putrajaya.

Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, dan Konstable Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Azisman berharap insiden sama tidak berulang kepada mana-mana anggota polis di masa depan.

Pada masa sama, Azisman mengucapkan takziah kepada keluarga anggota terlibat.

“Bagi kes yang berlaku di Kajang, ia adalah kemalangan yang tidak disengajakan dan kami amat terkilan dengan kejadian itu, ” katanya lagi.

JPJ tutup kaunter sehingga 17 Mei, tawaran diskaun saman tetap berjalan

INDIVIDU masih belum melangsaikan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian dengan kadar segera.

Ini kerana tawaran diskaun 70 peratus masih diteruskan JPJ sehingga 11 Jun depan.

Diskaun diberikan terhadap individu yang dikenakan kesalahan kompaun.

Tawaran diskaun juga dilanjutkan kepada saman yang masih aktif termasuk individu yang telah disenarai hitam.

Mereka disenarai hitam perlu hadir ke pejabat JPJ bagi memudahkan urusan dokumentasi.

Bagaimanapun, pesalah yang mempunyai kes di mahkamah tidak layak menerima diskaun yang ditawarkan.

Sebelum ini, JPJ mengumumkan tawaran diskaun saman sebagai langkah mengurangkan beban orang ramai susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, JPJ turut mengumumkan penutupan semua kaunter seluruh negara bermula jam satu petang ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kaunter JPJ seluruh negara akan beroperasi semula pada 17 Mei (Isnin).

Elak tol, syarikat diarah bayar Plus RM518,369

AKIBAT tidak membayar tol sebuah syarikat diarah membayar pampasan RM518,369.27 kepada Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus).

Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan perintah itu selepas mendapati syarikat Berjasa Logistic Sdn Bhd harus dipertanggungjawabkan atas tindakan 19 buah kenderaannya yang sengaja tidak membayar tol.

Memetik laporan media, Plus dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius tindakan pemandu tidak membayar tol.

Pada masa sama, Plus memohon kerjasama syarikat logistik agar memantau pemandu bermasalah yang sengaja tidak membayar tol.

Isu pemandu tidak membayar tol bukan suatu yang baharu.

Terdapat pelbagai taktik digunakan sehingga memaksa pihak Plus memantau lebih rapi selain mengambil tindakan undang-undang.