Arkib Tag: mabuk

Pemandu lori lawan arus didapati mabuk, kini ditahan

PEMANDU lori yang memandu secara lawan arus di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua sehingga menyebabkan kemalangan dengan dua buah kereta petang semalam didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 4:30 petang.

Katanya siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori berusia 41 tahun terbabit dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Gambar oleh tangkap layar dari video media sosial.

“Apabila tiba kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP.

“Pemandu lori itu kemudian memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes-Benz E250 dan Nissan Almera yang berada di laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Rahmat, pemandu Mercedes-Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan.

“Pemandu lori ditahan dan didapati di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

AS wajibkan pemasangan alat kesan pemandu mabuk pada kenderaan baharu

PELBAGAI usaha dilakukan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mengatasi kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Terbaharu, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang mewajibkan pemasangan alat pemantauan pemandu mabuk bagi setiap kenderaan baharu bermula tahun 2026.

Lapor Business Insider, alat itu perlu berfungsi dengan mengesan cara pemanduan sekaligus mengetahui sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

Jika pemandu didapati mabuk, alat tersebut secara automatik akan mengehadkan operasi kenderaan.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan AS masih belum memutuskan teknologi sesuai untuk pemasangan dalam kenderaan selain, memberi masa kepada pengeluar membuat kajian lanjut.

Berdasarkan data National Highway Traffic Safety Administration, satu pertiga daripada kes kemalangan di AS adalah berpunca daripada pemandu mabuk.

Dianggarkan 10,000 individu maut sejak 2010 sehingga 2019 akibat pengaruh aklkohol sekaligus melahirkan kebimbangan kepada pihak berkuasa negara itu.