Arkib Tag: Lotus Emeya

Lotus Emeya diperkenalkan secara rasmi, boleh pecut 0-100 km/j bawah 2.8 saat

SEPERTI yang dijanjikan, Lotus secara rasminya memperkenalkan Emeya, model hyper GT empat pintu yang pertama bagi jenama itu.

Emeya akan memasuki fasa produksi pada tahun hadapan bagi membawa cabaran baharu terhadap pesaing-pesaing terdekatnya seperti Audi e-tron GT, Porsche Taycan dan Tesla Model S.

Sebagai sebuah Lotus, Emeya menjanjikan prestasi pemanduan yang mengujakan. Ini dicapai menerusi sistem aerodinamik canggih yang merangkumi elemen-elemen aktif seperti jeriji, diffuser dan spoiler.

Spoiler berkenaan mempunyai ukuran lebar 11 inci (3.9 inci lebih lebar berbanding spoiler Eletre) dan boleh menjana downforce sehingga 215 kg.

Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara yang dikawal secara elektronik. Sistem tersebut mempunyai sensor canggih yang boleh mengimbas permukaan jalan sebanyak 1,000 kali sesaat dan akan melaras kenderaan secara automatik untuk pemanduan yang paling lancar.

Dalam versi paling berkuasa, model ini mempunyai 905 hp dan 985 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Angka tersebut membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang 2.8 saat.

Tidak seperti Eletra yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 112 kWj, Emeya didatangkan dengan bateri 102 kWj yang menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW.

Menurut Lotus, pengecasan selama lima minat akan memberikan jarak pemanduan sejauh 150 km, sementara pengecasan selama 18 minit boleh memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus.

Jarak pandu tidak dinyatakan namun ia angkanya dijangka tidak jauh berbeza dengan Eletre yang boleh dipandu sejauh 600 km dengan satu cas penuh.

Emeya dibangunkan menggunakan pelbagai material lestari bagi mengurangkan jejak karbonnya. Ini termasuk benang yang diperbuat daripada gentian yang dikitar semula daripada industri fesyen, aluminium PVD, Alcantara, kulit Nappa dan ultrafabrik PU.

Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, Emeya menjanjikan pengalaman audio terbaik menerusi sistem audio yang dibangunkan dengan kerjasama KEF. Sistem ini merangkumi pembesar suara Uni-Q dan subwoofer Uni-Core, serta bunyi 3D Dolby Atmos.

Turut disertakan adalah paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci, cermin digital dan modul LiDar seperti yang terdapat pada Eletre.