Arkib Tag: lmm

JPJ: Stok lesen LMM, LKM mencukupi sehingga akhir tahun

STOK Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Jaminan diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain yakin tidak akan berlaku sebarang masalah berhubung isu pembekalan serta pengedaran LMM dan LKM.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan stok dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) juga mencukupi.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ.

“Ini termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM.

“Manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, MyEG masih memiliki 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM.

Pos Malaysia mempunyai 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM.

Manakala PUSPAKOM pula memiliki 11,950 LKM Motokar.

Semalam, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ.

Moratorium lesen, cukai jalan dilanjutkan sehingga 31 Disember

MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan lanjutan tempoh moratorium pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Jelas Wee, ia dilanjutkan hingga 31 Disember 2021 selepas mengambil kira maklum balas orang ramai.

Kementerian Pengangkutan juga bersetuju membuka semula kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan kapasiti 100 peratus bermula 6 September.

“JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap,” katanya.

Wee ditemui pemberita pada sidang media di Kementerian Pengangkutan dekat Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Wee berkata pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah.

Pemilik hendaklah menunjukkan sijil perlindungan insurans jika diarahkan pihak berkuasa bagi tujuan pemeriksaan.

Pada masa sama, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ.

Moratorium lesen memandu dan kenderaan tidak disambung, perlu perbaharui mulai Oktober 2021

MORATORIUM bagi pelanjutan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak akan disambung selepas 30 September ini.

Ini bermakna orang ramai perlu mula perbaharui lesen memandu dan kenderaan mereka mulai Oktober depan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan oleh badan penguatkuasa jabatan tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksanakan di lapangan mulai 1 Oktober.

“Orang ramai diingatkan agar memperbaharui lesen masing-masing yang telah tamat tempoh sebelum tarikh tersebut.

“Pemilik kenderaan yang LKM telah tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans jika diminta pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

JPJ berkata, orang ramai disaran membuat urusniaga secara dalam talian iaitu melalui portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my/public/login.zul) mahupun rakan strategik JPJ iaitu myEG.

Tambahnya, “Sebarang urus niaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian boleh dibuat di kaunter JPJ secara janji temu (online appointment/call-in).”

Sementara itu, JPJ berkata bahawa pejabat Pos Malaysia dijangka akan memulakan urus niaga JPJ di lebih 650 cawangan seluruh Malaysia mulai 9 Ogos ini.

“JPJ juga akan memastikan bekalan dan stok dokumen keselamatan LKM dan LMM adalah mencukupi bagi tujuan urus niaga pembaharuan LKM dan LMM oleh orang ramai.”