Arkib Tag: Litar Dato’ Sagor

Lahir lebih ramai pelumba bertaraf dunia, apa strategi kita?

PERLUMBAAN motosikal semakin mendapat tempat di hati kebanyakan peminat sukan negara ini.

Tidak dinafikan, antara faktor utama adalah disebabkan kemunculan bakat baharu anak tempatan dalam sukan ini di peringkat antarabangsa.

Nama seperti Hafizh Syahrin, Adam Norrodin dan Syarifuddin Azman misalnya memperlihatkan bagaimana Malaysia juga mampu bersaing di persada dunia.

Namun, persoalannya adakah bakat sedia ada ini sudah mencukupi? Perlukah kita selesa dengan pencapaian ketika ini?

Masih banyak lagi usaha perlu dilakukan dalam mencungkil bakat anak tempatan dalam sukan perlumbaan motosikal.

Apa yang paling penting adalah bukan sekadar menambah bilangan atlet dalam sukan itu tetapi, bagaimana kejayaan demi kejayaan yang perlu dibina.

Justeru, penulis berpandangan ada beberapa langkah yang perlu dilakukan agar sukan lumba motosikal terus mencipta kegemilangan.

Kewujudan Litar Dato’ Sagor di Perak antara inisiatif baik dalam usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia. Foto ihsan Facebook/Maymeilagie Lagie

Satu negeri satu litar

Kini sudah tiba masa setiap negeri memilki litar perlumbaan sendiri bagi menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu.

Setakat ini, masih ada negeri yang tidak mempunyai litar untuk anak muda mempamerkan bakat dan paling menyedihkan ia kemudian berakhir di jalan raya.

Justeru, satu langkah proaktif dengan kerjasama pelbagai pihak perlu dilakukan agar usaha ini dapat direalisasikan demi kemajuan sukan permotoran negara.

Program pencarian bakat muda

Program pencarian bakat muda atau talent scouting perlu dilakukan secara serius tanpa ada sebarang agenda peribadi.

Berdasarkan sembang-sembang penulis dengan individu terlibat dengan sukan ini, ada beberapa kes ‘pilih bulu’ dalam mengetengahkan bakat atlet tertentu.

Ini sudah pasti menjadi ‘barah’ kepada industri sukan permotoran kerana individu yang layak akhirnya diketepikan seterusnya mensia-siakan bakat sedia ada.

Pelumba Moto2 Hafizh Syahrin Abdullah sebelum ini mendedahkan telah banyak mengeluarkan wang peribadi dalam membina kerjayanya. – Foto ihsan Facebook/Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao

Sukan permotoran bukan untuk ‘kayangan’

Jangan jadikan sukan permotoran hanya untuk golongan ‘kayangan’.

Tahukah anda, terdapat banyak bakat pelumba muda berada seluruh negara yang tidak dapat diketengahkan kerana faktor kewangan.

Maka, pihak tertentu sama ada daripada agensi kerajaan atau swasta perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian akan perkara ini.

Demikian antara tiga cadangan asas yang penulis fikir perlu dilaksanakan segera demi pertumbuhan sukan perlumbaan motosikal negara.

Jika ia dapat dilaksanakan, maka kita bersedia untuk ‘sembang’ ke topik seterusnya dalam memajukan industri sukan ini.

Akhir kata, majulah sukan permotoran untuk Malaysia!

Saksikan video di bawah bersama Bro Anuar Norick yang berceloteh mengenai tujuh pelumba motosikal tempatan yang berjaya ke persada antarabangsa.