Arkib Tag: Lexus LS Concept

JMS 2025: Lexus LS Concept tampil dalam tiga bentuk berbeza

Lexus LS muncul di dunia pada tahun 1989 sebagai sebuah sedan mewah eksekutif bertaraf mercu.

Kini selepas 36 tahun, LS tidak lagi dikenali sebagai Luxury Sedan, sebaliknya Lexus mahu menamakannya sebagai “Luxury Space”.

Bertempat di Japan Mobility Show 2025, Lexus mempamerkan tiga model konsep Luxury Space dalam bentuk minivan enam tayar, SUV coupe, dan pod mobiliti peribadi tiga tayar.

 

Lexus LS Concept

Ini merupakan konsep LS yang pertama diumumkan ke dunia beberapa minggu sebelum tirai JMS 2025 dibuka.

Tidak seperti Lexus LM, Lexus LS Concept ini membawakan tetapan enam roda – mengingatkan kita pada jentera lumba F1 era 70-an.

Berdasarkan gambar rasmi, minivan ini mempunyai konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Terima kasih kepada roda belakang yang lebih kecil, ia mampu memaksimumkan lagi ruang kabin untuk keselesaan penumpang baris ketiga.

Kehadiran perkakasan pemanduan seperti roda stereng dan skrin paparan memberikan petunjuk minivan ini masih lagi boleh dipandu seperti biasa.

 

Lexus LS Coupe Concept

Ini merupakan model konsep yang paling nampak macam sebuah kereta tradisional.

Bentuk badan SUV coupe memberikan petanda jelas bahawa LS ini sedia memberikan cabaran kepada model seperti Ferrari Purosangue.

Bukaan pintu pula ala kereta Rolls-Royce, manakala bahagian belakang pula boleh diluncurkan keluar seperti laci.

Ruang kabin LS Coupe menampilkan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan minivan LS tadi.

 

Lexus LS Micro Concept

Seakan konsep yang datang dari masa hadapan, LS Micro Concept merupakan sebuah pod mobiliti peribadi dengan tetapan tiga roda.

Ia hanya boleh memuatkan seorang sahaja penumpang pada satu-satu masa, dan memiliki keupayaan swa-pandu.

Perkara yang paling penting? Terdapat beberapa ruang meletakkan cawan yang tersedia.

Minivan Lexus LS Concept ini mempunyai enam tayar!

Tidak cukup dengan idea Century dua-pintu dan Corolla generasi baharu yang serba agresif, Toyota mempunyai sebuah lagi idea gila: konsep minivan dengan enam tayar!

Konsep yang cukup unik dan di luar kotak ini akan turut dipamerkan secara rasmi di acara Tokyo Mobility Show pada tahun ini.

Dinamakan sebagai LS (Luxury Space?), ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan sedan LS yang sudah dihentikan penawarannya di beberapa pasaran.

Sebaliknya, Lexus LS Concept ini merupakan sebuah minivan tiga gandar dengan dimensi yang nampak lebih besar berbanding model Lexus LM sedia ada.

Berdasarkan gambar tunggal yang dibekalkan, adalah selamat untuk kita andaikan Lexus LS Concept ini merupakan sebuah minivan elektrik dengan ruang kabin yang luas, dibantu dengan bentuk berkotak dan dimensi bumbung yang tinggi.

Bahagian depan minivan ini menampilkan unit pencahayaan LED menegak, diikuti dengan jalur lampu LED belakang yang sengaja direka sampai ke tiang D untuk menunjukkan ketinggian kenderaan ini.

Model konsep minivan enam tayar ini akan turut dipamerkan di acara Japan Mobility Show 2025 pada penghujung bulan ini.