Arkib Tag: Lexus LFA

Lexus LFA muncul kembali sebagai sebuah supercar elektrik

Sejak bertahun-tahun, golongan petrolhead dan para pencinta deruman nadi V10 disuap berita tentang kemunculan model pengganti LFA.

Berita baik untuk anda: Lexus LFA kini muncul semula sebagai sebuah konsep supercar dengan penampilan yang cukup cantik untuk dipandu atas jalan raya.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Lexus LFA Concept:

 

1. Kongsi casis dengan GR GT

Lexus LFA Concept menggunakan kerangka badan aluminium yang ringan dan kuat, di mana ia merupakan casis yang sama digunakan pada model GR GT dan GR GT3.

Ia menawarkan kelebihan dari segi titik graviti yang rendah, jisim yang ringan dengan kadar ketegaran yang tinggi serta prestasi aerodinamik.

 

2. Tiada enjin V10

Sayang sekali, Lexus LFA Concept ini tidak mewarisi enjin bentangan V10 yang dibawakan pada model terdahulu, dan tidak langsung menggunakan enjin bentangan V8 berkuasa lebih 640 hp dan 850 Nm itu.

Ia merupakan sebuah supercar dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuh masa.

Pihak Lexus (dan Toyota) juga masih belum mendedahkan perincian seperti bilangan motor, sistem pacuan, output serta kapasiti bateri yang bakal dipasang pada LFA Concept ini.

 

3. Dimensi

LFA Concept membawakan ukuran sepanjang 4,690 mm, lebar 2,040 mm, tinggi 1,195 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,725 mm.

Berbanding LFA V10, LFA Concept ini mempunyai dimensi 185 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar, 25 mm lebih rendah dengan jarak antara roda 120 mm lebih panjang.

 

4. Luaran ada elemen LFA V10

Tidak dinafikan, bentuk badan Lexus LFA Concept ini tampak lebih seimbang dan lebih tegap bila meluncur atas jalan.

Ia juga mempunyai beberapa rujukan elemen rekaan daripada LFA V10 seperti bonet hadapan berliang, serta skup udara di bahagian sisi.

Ketika di Japan Mobility Show, Lexus turut memperlihatkan fungsi spoiler belakang aktif pada model ini.

 

5. Kabin fokus kepada pemandu

LFA Concept menjanjikan posisi pemanduan ideal yang sama ditawarkan pada model GR GT dan GR GT3.

Namun, tidak seperti dua model supercar V8 itu tadi, LFA Concept menampilkan stereng jenis yoke, diikuti susun atur skrin paparan hadapan pemandu yang agak unik.

Tuil penukaran gear diposisikan pada kolum stereng, dan terdapat juga butang F-Mode dan Custom bersaiz besar, diikuti keupayaan untuk menetapkan tahap tujahan dan brek yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Menurut Lexus, tiga huruf “LFA” pada LFA Concept ini tidak terikat kepada supercar berenjin pembakaran dalaman seperti model terdahulu.

Ia kini melambangkan sebuah kenderaan dilengkapi pelbagai teknologi kejuruteraan termaju yang harus dipelihara dan diturunkan oleh jurutera pada zamannya kepada generasi akan datang.

Kalau dulu, Lexus LFA membawa maksud berikut:
L – Lexus
F – F-Sports (cabang prestasi tinggi Lexus), juga melambangkan Fuji Speedway
A – Apex

Apa pendapat anda tentang Lexus LFA Concept? Haruskah ia ditawarkan sebagai supercar EV atau patut dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman?

Lexus Sport Concept: Adakah ini rupa sebenar pengganti LFA?

Bertempat di Monterey Car Week minggu lepas, Lexus mengambil kesempatan untuk memperlihatkan kereta sports generasi berikutnya buat kali pertama.

Dinamakan sebagai Lexus Sport Concept, ia merupakan evolusi daripada model Electrified Sport Concept yang wujud pada lewat tahun 2021.

Jika dibandingkan dengan model terdahulu, Sport Concept ini menampilkan rekaan yang lebih sedia untuk produksi sebenar.

Selain daripada unsur rekaan tipikal kereta moden Lexus, Sport Concept ini juga membawakan rujukan rekaan daripada supercar V10 Lexus LFA, terutama pada bahagian tiang C, kehadiran liang pada hujung bampar belakang serta spoiler belakang aktif.

Buat masa ini, Lexus masih lagi merahsiakan spesifikasi penuh Sport Concept.

Namun jika dilihat dengan lebih teliti, Lexus Sport Concept ini mempunyai muncung ekzos yang disembunyikan di bawah spoiler aktif itu tadi.

Terdapat laporan yang mengatakan Sport Concept akan tampil dengan enjin bentangan V8 turbo berkembar dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan roda belakang (FR) dan bantuan sistem hibrid.

Kenapa enjin V8? Ini adalah berdasarkan unit ujian yang penuh dengan pelekat samaran dikesan sedang dipandu uji di Litar Nurburgring beberapa bulan yang lepas.

Jadi, adakah Sport Concept ini mampu menjadi pengganti sebenar kepada Lexus LFA?

Toyota muat naik video bunyi enjin Lexus LFA, durasi 3 jam!

Pada saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia telah dihidangkan dengan barisan supercar dan hypercar yang menawarkan prestasi yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, penulis berpendapat tiada satu pun daripada model tersebut yang dapat mengalahkan enjin V10 Lexus LFA dari segi bunyi.

Ya, walaupun model tersebut telah pun lama dihentikan produksi sejak 2012, kualiti runut bunyi enjin dan ekzos yang terhasil seakan jentera F1 itu masih lagi sukar untuk ditandingi.

Jika anda merasakan bunyi hingar putih (white noise) tidak cukup membantu anda tidur dengan nyenyak, mungkin sekali boleh cuba satu cara yang sangat sesuai digunakan oleh golongan petrolhead – dengar bunyi enjin Lexus LFA!

Toyota menerusi laman YouTube Toyota Times secara senyap memuat naik video berdurasi tiga jam tanpa sebarang gangguan bunyi asing, hanya bunyi bising tulen Lexus LFA semata-mata.

Untuk makluman golongan pembaca, Lexus LFA dikuasakan oleh enjin 1LR-GUE bentangan V10 5.2 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 552 hp dan 480 Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik.

Lexus LFA Nürburgring Edition pula dilancarkan dengan enjin yang telah ditala supaya menghamburkan kuasa setinggi 563 hp, penukaran gear 0.05 saat lebih pantas, serta pakej aerodinamik yang lebih sesuai digunakan di dalam litar.

Dalam masa yang sama, Lexus turut meminta bantuan Yamaha untuk menala kembali enjin, ekzos, dan sistem kemasukan dan hasilnya – alunan runut bunyi yang sukar untuk ditiru oleh mana-mana pengeluar.

Sebagai seorang yang meminati ‘muzik’ genre unik ini, kami berharap pihak Toyota mampu menawarkan variasi bunyi enjin hebat yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu untuk didengari, seperti enjin enam silinder 2JZ-GTE, satu-satunya enjin V12 1GZ-FE yang digunakan oleh Toyota Century generasi kedua, dan tidak ketinggalan enjin lagenda 4A-GE.

Bonus: Runut bunyi Lexus LFA mengaum di dalam litar ujian