Arkib Tag: Lembah Klang

Hujan lebat lebih dua jam, beberapa kawasan di Lembah Klang banjir

HUJAN lebat menyaksikan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pemerhatian di ibu negara mendapati Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Cheras antara terjejas.

Banjir sekitar kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. – Foto ihsan Facebook/Hisham Din

Selain itu, beberapa lebuh raya turut dinaiki air antaranya Besraya Expressway.

Memetik kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di media sosial, terdapat beberapa kawasan di sepanjang laluan Besraya Expressway telah dinaiki air.

Selain itu, Lebuhraya Kesas turut terkesan sehingga menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat.

Pada masa sama, hanya satu lorong sahaja boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan SUKOM.

Orang ramai dinasihati berhati-hati ketika melalui kawasan banjir atau menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

Hujung tahun lalu, beberapa kawasan sekitar Lembah Klang teruk terjejas akibat banjir.

Antara kawasan terjejas adalah di Shah Alam, Klang dan beberapa kawasan lain yang menyaksikan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan.

Mitsubishi tawar uji kenderaan tanpa pengiring untuk pelanggan Lembah Klang

PARA pelanggan menetap sekitar Lembah Klang berpeluang menguji kenderaan Mitsubishi tanpa diiringi konsultan jualan.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) berkata, ini kerana terdapat banyak permintaan daripada pelanggan untuk memandu uji kenderaan terutama model Triton Athlete dan XPander.

Pelanggan berminat memandu uji boleh melayari laman web rasmi MMM dan menghantar permohonan untuk sesi pandu uji.

Kakitangan MMM kemudian akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan dan menghantar kenderaan pandu uji ke lokasi terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda berkata, pandemik Covid-19 telah merubah gaya perniagaan dan pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami melihat peluang ini untuk meningkatkan pengalaman dan kemudahan para pelanggan.

“Caranya mudah, dengan mengisi borang jadual temujanji dengan pengedar bertauliah malahan, kami akan menguruskan semua proses termasuk penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, para pelanggan boleh memilih sama ada ingin diiringi konsultan jualan atau sebaliknya.

Terdahulu, MMM memberitahu para pelanggan tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan kenderaan kerana proses sanitasi akan dilakukan oleh petugasnya.

Setiap pelanggan hanya diberi masa sejam untuk memandu uji sebelum mengembalikannya ke lokasi asal.

Lembah Klang masuki fasa 2 PPN mulai esok, boleh rentas daerah

LEMBAH Klang akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 10 September, esok (Jumaat).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan peralihan membabitkan kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, katanya, rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.

“Ibu bapa yang mendapat perlindungan lengkap dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia bawah 18 tahun,” katanya.

“Dine-in atau makan di kedai dibenarkan di premis untuk pelanggan yang lengkap dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ (inap desa) bagi individu yang lengkap dos vaksin.

“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama. Maka, pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya.

Memperincikan kelonggaran selanjutnya, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN.

“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat,” katanya.

Puspakom seluruh Selangor, Lembah Klang mula operasi

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor mula beroperasi, hari ini.

Pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom seluruh Lembah Klang dan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat temu janji secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom.

“Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” memetik satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Puspakom memaklumkan perkhidmatan di Batu Caves masih belum dibuka pada hari ini.

Pihak Puspakom menjangkakan cawangan Batu Caves akan mula beroperasi pada 21 Julai ini.

Sebelum ini, Puspakom telah menutup semua cawangannya di Selangor berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).