Model Lego Technic lazimnya dibina untuk dijadikan koleksi atau dipamerkan di rak, namun kerjasama terbaharu antara Lego dan Koenigsegg membuktikan ia mampu menawarkan lebih daripada itu.
Bagi meraikan pelancaran set Lego Technic Koenigsegg Sadair’s Spear yang baharu, kedua-dua jenama itu menghasilkan sebuah replika bersaiz sebenar yang bukan sahaja dibina menggunakan blok Lego, malah boleh dipandu.
Catat rekod kelajuan baharu
Replika itu diuji di laluan mendaki di Goodwood, UK, dengan pemandu ujian rasmi Koenigsegg, Markus Lundh, mengendalikan jentera tersebut.
Lundh, yang sebelum ini mencipta rekod di laluan sama menggunakan Sadair’s Spear sebenar, berjaya memacu versi Lego itu sehingga 111 km/j, sekali gus memecahkan rekod terdahulu iaitu 50 km/j yang dipegang oleh McLaren P1 Lego.
Dibina daripada hampir 328,000 blok Lego
Replika berkenaan dibina menggunakan 327,906 blok Lego dan mempunyai berat hampir 1.8 tan, dengan kira-kira 400 kg daripadanya disumbangkan oleh mainan tersebut. Menurut Lego, keseluruhan proses mereka bentuk dan membina model ini mengambil masa lebih 9,400 jam.
Walaupun diperbuat daripada blok plastik, ia masih dilengkapi fungsi Ghost Mode seperti yang ada pada model sebenar. Dengan hanya satu sentuhan butang, pintu, bonet hadapan dan cermin sisi akan beroperasi serentak.
Replika yang mencipta rekod ini akan membuat penampilan sulung kepada orang ramai pada Goodwood Festival of Speed 2026 sebelum memulakan jelajah promosi ke beberapa negara.
Set Lego Technic baharu
Selain replika bersaiz penuh itu, Lego Technic turut memperkenalkan model Koenigsegg Sadair’s Spear berskala 1:8 sebagai model terbaharu dalam siri Ultimate Car Concept.
Set yang mengandungi 4,104 keping ini menampilkan enjin V8, transmisi sequential sembilan-kelajuan yang dikendalikan menerusi paddle shifter pada stereng, suspensi Triplex, fungsi Ghost Mode serta panel bumbung yang boleh ditanggalkan.
Lego memaklumkan pembangunan set ini mengambil masa sekitar 18 bulan, termasuk penghasilan pelbagai komponen baharu khusus untuk model tersebut.
Set ini akan ditawarkan kepada ahli Lego Insiders bermula 1 Julai 2026 sebelum jualan umum dibuka pada 4 Julai di Eropah pada harga 449.99 euro (RM2,130). Pembeli terawal turut akan menerima model stereng Sadair’s Spear secara percuma, selagi stok masih ada.
KAMI di Engear sama juga seperti anda, sukakan jentera-jentera seperti kereta dan motosikal. Jadi bila dapat tawaran dari pihak Lego Malaysia untuk mengalami sendiri pengalaman memasang model terbaharu mereka iaitu Yamaha MT-10 SP, kami cukup teruja.
Oleh itu, video dan artikel reviu kali ini menggunakan subjek sedikit berbeza dari kebiasaan, iaitu sebuah motosikal dalam skala 1:5.
Lego mempunyai banyak barisan produk seperti Classic, City, Creators, dan DC Comic Super Heroes, meliputi pelbagai peringkat umur. Lego Technic ialah siri yang lebih kompleks, realistik, teknikal, dan sesuai untuk mereka yang berumur mungkin 14 tahun ke atas.
Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.
Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti.
Buka kotak
Di dalam kotak set ini terdapat sampul berisi manual dan pelekat, serta bungkusan plastik berisi blok-blok dan komponen Lego.
Manualnya seperti biasa dari buku tebal jenis kertas berkilat, dan sudah tentu berwarna. Buku ini menampilkan gambar-gambar motosikal sebenar, model siap, dan cara pemasangan. Ia juga berbaloi disimpan dijadikan koleksi atau untuk diletakkan di meja kopi.
Bungkusan plastik agak banyak, dan setiap satu dikumpulkan dalam enam kumpulan. Jadi setiap kumpulan dari satu hingga enam ini menunjukkan segmen dan langkah pemasangan. Sebagai contoh beberapa beg 1 untuk komponen rangka, dan beberapa beg 3 untuk enjin.
Mari ‘main’ Lego
Kami pun memulakan proses pemasangan, melalui kesemua 307 muka surat dari buku manual. Beg-beg berlabel nombor 1 paling panjang prosesnya, iaitu 89 muka surat.
Selebihnya adalah beg 2 hingga 6. Dan kami mengambil masa lebih kurang lapan jam keseluruhan, gabungan dari dua hari penggambaran.
Hasilnya, sebuah replika Yamaha MT-10 SP dalam skala 1:5 yang cukup cantik. Ia juga nampak realistik, yang mana kami rasa jika tiada logo Yamaha pun, peminat motosikal pasti boleh cam model ini.
Ciri paling menarik pada Lego Technic Yamaha MT-10 SP bagi penulis ialah enjin dan kotak gear 3-kelajuan yang berfungsi. Anda boleh masuk gear 1, neutral, 2, dan 3 dengan menekan penukar gear seperti motosikal sebenar. Cuma Lego tidak buatlah kotak gear 6-kelajuan, nanti tak muat pula. Cukup 3-kelajuan untuk kita nampak asas binaan transmisi itu.
Ia disambungkan kepada rantai yang menggerakkan roda belakang. Anda dapat lihat empat silinder dalam enjin bergerak jika anda dalam gear dan memusingkan roda belakang, dan begitu juga sebaliknya.
Terdapat juga perincian komponen lain seperti suspensi depan dan belakang yang berfungsi, cermin sisi yang boleh digerakkan, hos brek depan dan belakang, serta hos radiator.
Susah? Berbaloi?
Susah atau senang untuk bina model ini, bergantung kepada pengalaman anda. Macam penulis sendiri, tidak pernah memasang sebarang model Lego Technic bersaiz besar, dan sebarang model motosikal. Tetapi penulis pernah memasang banyak set Lego sebelum ini.
Anda perlu membiasakan diri dan mengenal blok serta komponen yang banyak digunakan di awal pembinaan, kemudian bila masuk beg 2 dan seterusnya, jadi lebih lancar.
Anda perlu teliti di beg 2 dan 3 kerana di sini kita membina blok enjin dan kotak gear. Semua komponen perlu betul, termasuklah jajaran drum penukar gear. Betul semua ini, maka kotak gear anda berfungsi dengan sempurna.
Bagi penulis, set ini sememangnya berbaloi dibeli kerana anda dapat sebuah build yang memuaskan. Anda dapat belajar banyak mengenai mekanikal dan kejuruteraan motosikal khasnya Yamaha MT-10 SP ini. Bila siap, model ini juga pasti gah menghiasi ruang tamu atau ruang pejabat anda. Jangan biarkan anak buah yang masih kecil sentuh!
Oh ya, set Lego Technic ini juga datang dengan fungsi AR (augmented reality) dimana anda boleh muat turun aplikasinya dan berinteraksi dengan model ini dengan cara unik di telefon pintar anda.
Jemput tonton video kami berseronok memasang model ini di bawah. Jika anda berminat membelinya, boleh terus ke pautan ini.