Arkib Tag: kotak simpanan

GIVI XSPACE rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM1,600

GIVI Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan produk baharu dalam rangkaian Monokey, iaitu XSPACE.

Ia tampil dengan konsep praktikal ‘Satu kotak, dua mod tunggangan’ yang direka untuk kegunaan harian, serta ruang yang boleh ditambah mengikut keperluan.

XSPACE dijual pada harga bermula dari RM1,600 hingga RM1,850 tidak termasuk set kunci.

Sistem mekanikal berpaten

XSPACE mempunyai sistem mekanikal berpaten yang membolehkan pengembangan teleskopik dibuat dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan barangan dari dalam.

Proses kejuruteraannya turut menitikberatkan aspek ketepatan pergerakan, prestasi aerodinamik, ketahanan jangka panjang dan integrasi struktur yang kukuh.

Sistem ini turut memastikan tahap keselamatan yang tinggi dengan mengelakkan pembukaan secara tidak sengaja.

Satu kotak, dua mod berbeza

Dalam mod kompak, ia menawarkan ruang sebesar 27 liter, dan boleh diperluas kepada 36 liter.

Dengan peningkatan ruang sebanyak 33 peratus dan tambahan kedalaman 6 cm, XSPACE boleh memuatkan sebuah helmet modular.

Tidak cukup dengan itu, XSPACE boleh berfungsi sebagai kotak simpanan atas (top case) atau kotak simpanan sisi (side case).

XSPACE dibina menggunakan bahan tahan hentakan, sinaran UV serta perubahan cuaca, dengan had muatan sehingga 10 kg.

Kotak ini didatangkan dengan jaring elastik serta pelapik dalaman kalis air bagi melindungi barangan semasa tunggangan.

Ia turut dilengkapi pemegang terbina, dan sistem Smart Security Lock yang dijual berasingan.

Pilihan warna & aksesori

GIVI XSPACE ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu hitam serta hitam/penutup aluminium.

Terdapat juga aksesori yang boleh dipadankan seperti beg, penyandar penumpang, silinder kunci untuk kunci asal BMW dan rak bagasi atas.

GIVI lancar helmet M37.0 Grande & kotak simpanan Ultimo, di pasaran Julai ini

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, GIVI Asia mengambil kesempatan untuk memperlihatkan dua produk baharu, iaitu topi keledar M37.0 Grande dan kotak simpanan Ultimo.

 

M37.0 Grande

Topi keledar jenis jet M37.0 Grande hadir dengan dua rekaan cengkerang, iaitu kecil (untuk saiz S & M), serta besar (untuk saiz L & XL).

Harga jualan bermula dari RM360 untuk pilihan warna solid, atau RM400 untuk versi grafik.

Helmet ini direka untuk memenuhi kod piawaian homologasi keselamatan terkini ECE 22.06, menjadikannya ideal untuk penunggang yang mahukan perlindungan maksimum dan bergaya dalam masa yang sama.

Terdapat empat pilihan grafik yang cukup bergaya seperti Azure Black Blue, Rosso Black Red, Scuro Navy Yelow dan Scuro Black Red.

Untuk mereka yang mahukan rekaan ringkas boleh mendapatkan pilihan warna solid seperti White, Sky Blue, Candy Red dan Piano Black.

Ciri lain termasuklah Micrometric Quick Release Buckle, tiga liang aliran udara serta penggunaan fabrik lembut antibakteria untuk memastikan tahap kebersihan dan keselesaan berpanjangan.

 

Ultimo

Lengkapkan motosikal anda dengan kotak simpanan terbaharu daripada GIVI, iaitu The Ultimo Monolock Topcase.

Kotak simpanan ini diperbuat daripada bahan polipropilena (PP) untuk ketahanan jangka panjang, dan menawarkan ruang storan 35 liter – cukup untuk memuatkan topi keledar jenis modular.

Ia juga menampilkan sistem penguncian terbaharu Crab Lock untuk akses kepada ruang simpanan yang lebih mudah dan cepat.

Varian Ultimo+ pula diberikan ciri tambahan seperti plat aluminium pada bahagian atas kotak untuk rupa yang lebih premium dan ketahanan tambahan.

Kotak simpanan ini turut dilengkapi dengan tempat sandar belakang untuk keselesaan pembonceng terutama ketika perjalanan jarak jauh.

Harga jualan Ultimo bermula dari RM200, sementara harga untuk varian Ultimo+ akan diberitahu kelak.

Topi keledar M37.0 Grande dan kotak simpanan Ultimo akan berada di pasaran mulai Julai 2025 di semua GIVI Point dan pengedar sah di seluruh negara.