Arkib Tag: kimi raikkonen

Kimi Raikkonen umum bakal bersara hujung musim ini

KIMI Raikkonen telah mengumumkan persaraannya menjelang akhir musim ini. Pelumba dari Finland yang menjadi juara dunia pada 2007 itu akan berumur 42 tahun pada akhir musim ini.

Raikkonen memulakan karier F1 di Grand Prix Australia pada 2001 bersama Sauber-Petronas. Dia kembali ke pasukan itu yang kini bergelar Alfa Romeo.

“Inilah dia,” kata Raikkonen di Instagram miliknya. “Ini akan menjadi musim terakhir saya dalam Formula 1. Ini ialah keputusan yang saya buat pada musim sejuk lepas. Ia bukan satu keputusan yang mudah tetapi selepas musim ini, tiba masa untuk perkara baharu.”

“Walaupun musim ini masih berjalan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, pasukan, semua yang terlibat dalam karier perlumbaan saya, dan semestinya peminat-peminat semua selama ini.”

“Formula 1 mungkin berakhir untuk saya tetapi banyak lagi perkara lain dalam hidup yang saya mahu alami dan nikmati. Jumpa lagi anda semua selepas ini.”

Selepas tahun pertama dengan Sauber, Raikkonen bersama McLaren selama lima tahun sebelum berhijrah ke Ferrari untuk tiga tahun. Di sinilah beliau memenangi kejuaraan pertama dan terakhir, mengalahkan Lewis Hamilton dan Fernando Alonso dalam perlumbaan akhir di Brazil.

Raikkonen juga pernah menyertai rali semasa ‘bercuti’ dari Formula 1 selama dua tahun, dia kemudiannya kembali ke Lotus untuk dua musim sebelum ke Ferrari untuk kali kedua. Kontrak terakhir ditandatangani pada 2019 semasa dia menyertai Alfa Romeo.

Raikkonen agak bergelut musim ini, hanya memperoleh dua mata dan berada di tempat ke-17 untuk kedudukan pemandu.

Dalam 344 Grand Prix disertainya setakat ini, Raikkonen telah memperoleh 21 kemenangan, 103 podium dan 18 petak depan. Dia kini mempunyai baki 10 perlumbaan.

Selepas berita persaraan Raikkonen, presiden dan CEO F1, Stefano Domenicali, yang juga rakan sepasukan Raikkonen di Ferrari semasa dia memenangi juara dunia berkata, pelumba Finland itu akan sangat dirindui dalam sukan ini.

“Kimi ialah sebahagian menarik dalam sukan ini, seorang rakan peribadi dan juara sebenar. Saya pernah bekerja dengannya di Ferrari dan tahu betapa menariknya personaliti dia.”

“Kami semua akan merindui diri dan gaya uniknya dan mengucapkan yang terbaik untuk dirinya dan keluarganya,” kata Domenicali.

Bos terkini Raikkonen di Alfa Romeo, Fred Vasseur pula berkata: “Tiada pemandu lain di luar sana seperti Kimi.”