Arkib Tag: Kia PV5

KLIMS2026: Empat model global Kia dipamerkan – K4, EV4, EV5 dan PV5

Kia Sales Malaysia mempamerkan empat model global menarik untuk tatapan rakyat Malaysia di acara KLIMS 2026 yang sedang berlangsung.

Model yang dimaksudkan ialah:

  • sedan Kia K4
  • sedan elektrik Kia EV4
  • SUV elektrik Kia EV5
  • van komersial elektrik Kia PV5

Penampilan sulung Kia K4

Sedan Kia K4 dipamerkan dalam spesifikasi GT-Line, menampilkan falsafah rekaan Opposites United yang menggabungkan gaya sporti dan praktikaliti harian.

Ia dipacu enjin 1.6L TGDi yang mampu menghasilkan 193 PS dan 265 Nm.

Sedan ini dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan suspensi Multi-Link di belakang, dipadankan dengan rim 18 inci serta tayar 235/40R18.

Kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • skrin paparan kawalan iklim 5 inci
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • kawalan iklim dwi-zon

Kia PV5

Kia PV5 merupakan model pertama yang dibangun berdasarkan senibina khusus E-GMP.S Platform Beyond Vehicle (PBV).

Direka untuk kegunaan komersial, Kia PV5 dipacu motor elektrik roda depan menghasilkan kuasa 161 hp, serta dilengkapi fungsi V2L dan V2X.

Di pasaran luar negara, model ini boleh didapati dalam versi:

  • Passenger – konfigurasi tiga baris tempat duduk
  • Cargo – hadir dalam konfigurasi Compact, Long dan High Roof
  • WAV (Wheelchair Accessible Vehicle) – lebih mesra pengguna kerusi roda

Kia EV4

Kia EV4 pula dipacu motor elektrik tunggal roda depan menghasilkan 201 hp dan daya kilas 283 Nm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Dipadankan dengan pek bateri 81.4 kWh, ia boleh bergerak sejauh 612 km (data WLTP) selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (pengecasan 10-80% dalam 29 minit).

Antara ciri lain termasuklah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dan Integrated Panoramic Display.

Kia EV5

Kia EV5 merupakan SUV elektrik yang hadir dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda (AWD), dengan kuasa mencecah 308 hp dan daya kilas 480 Nm.

Dalam varian paling berkuasa, ia boleh memecut sepantas 6.1 saat dari 0-100 km/j.

Jarak pandu WLTP boleh mencecah 540 km, dan ia turut menyokong pengecasan DC sehingga 141 kW.

Ciri lain termasuklah skrin paparan berkembar 12.3 inci, sistem audio premium, pengesahan cap jari dan fungsi V2L.

Rekaan Kia PV5 versi produksi didedahkan, van elektrik untuk bawa kargo, penumpang

Selepas Kia EV4 didedahkan, Kia memperlihatkan pula sebuah kenderaan binaan khusus (Purpose Built Vehicle) berkuasa elektrik, iaitu Kia PV5.

Dari segi rekaan, Kia PV5 tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan PV5 Concept yang diperlihatkan lebih setahun yang lalu.

Kia PV5 boleh didapati dalam versi van penumpang dan van kargo.

Beza ketara antara kedua-dua model ini ialah kewujudan tingkap sisi untuk van penumpang, sementara van kargo pula membawakan bukaan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi kiri dan kanan kenderaan, diikuti dengan bukaan pintu tailgate berkembar di belakang.

Selain daripada itu, kedua-dua model berkongsi elemen rekaan yang serupa, seperti contoh lampu nyalaan siang (DRL) LED pada penghujung cermin hadapan, diikuti dengan port pengecasan dan unit lampu utama di bahagian tengah muka.

Ia juga menampilkan struktur pemegang pintu yang agak besar, diikuti dengan unit lampu belakang menegak.

Menurut Kia, selain daripada konfigurasi van penumpang dan van kargo, pembeli juga boleh memilih beberapa konfigurasi lain untuk PV5, atau menentukan sendiri spesifikasi mengikut keperluan.

Spesifikasi penuh Kia PV5 akan didedahkan secara rasmi pada 27 Februari ini.