Arkib Tag: kesesakan lalu lintas

Kian maju, Indonesia guna sistem tol tanpa palang mulai tahun depan

USAHA mengurangkan kesesakan lalu lintas terus diperhebat kerajaan Indonesia dengan memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa palang.

Memetik laporan Detik.com, projek kendalian PT Roatex Indonesia Toll System itu dijangka beroperasi seawal tahun depan.

Jelas jurucakap syarikat itu, persediaan peringkat akhir sedang dilaksanakan terutama melibatkan sistem keselamatan.

Ini kerana pihak syarikat perlu memastikan sistem dibangunkan berfungsi baik bagi mengelak cubaan individu menggunakan lebuh raya tanpa membayar tol.

Kesesakan lalu lintas di Indonesia bukan suatu senario yang baharu. – Foto ihsan Wikipedia

“Setiap data kenderaan yang masuk sama ada pengguna berdaftar atau belum berdaftar akan dikutip menggunakan sistem khusus.

“Semua data kemudiaan akan dimasukkan ke dalam sistem sebelum disalurkan terus kepada polis bagi tindakan lanjut,” kata jurucakap syarikat itu.

Indonesia antara negara di rantau ini yang giat meningkat sistem jalan raya dengan bermula di bandar-bandar besar.

Sistem tol tanpa palang di Singapura. – Foto ihsan Wikipedia

Selain Indonesia, Singapura telah lama menggunakan sistem tol tanpa palang menerusi teknologi pengimbas laser.

Menerusi sistem itu, pengguna jalan raya tidak perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan ketika melintasi alat pengimbas.

Covid-19: Tips ziarah 1 Syawal, jangan sampai langgar SOP

HARI Raya Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana berjaga-jaga ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi selain terus mengamalkan norma baharu.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan larangan rentas negeri seluruh negara serta daerah bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran pada 1 Syawal yang mana aktiviti ziarah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 15 individu berada dalam sebuah kediaman pada satu masa.

Justeru, di sini EnGear kongsikan beberapa peringatan atau tips pemanduan bagi aktiviti kunjung-mengunjung pada 1 Syawal nanti.

Lima tips ziarah Aidilfitri

1. Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan

Aktiviti ziarah tidak dinafikan memang seronok dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

Namun, anda dinasihati tidak menaiki kenderaan dengan bilangan penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Selain melanggar SOP ditetapkan ia juga berbahaya kerana berisiko mengundang kecelakaan jalan raya.

2. Ketahui had sempadan daerah atau negeri

Anda perlu tahu had sempadan daerah atau negeri.

Ini penting bagi mengelak secara tidak sengaja masuk ke daerah lain sekaligus berdepan tindakan undang-undang.

Nasihat kami gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk ketahui had sempadan daerah atau negeri.

3. Servis kenderaan anda

Walaupun tidak dapat berjalan jauh namun, pastikan kereta anda diselenggara dengan baik.

Anda pasti tidak mahu ‘tersangkut’ di tepi jalan raya sekaligus menyusahkan pemandu lain akibat kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat kos membaiki kenderaan juga berkemungkinan lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan.

4. Rancang perjalanan

Setiap perjalanan bagi aktiviti ziarah perlu dirancang sebaik mungkin bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Hal ini kerana kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dan ia pasti mengundang kesesakan.

Tambahan pula, orang ramai tidak dapat merentas negeri atau daerah dan pasti itu akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan atas jalan raya.

5. Kongsi kenderaan ketika ziarah

Sanak saudara yang ingin melakukan aktiviti ziarah 1 Syawal nanti mungkin boleh berkongsi kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Tapi perlu diingat jangan sampai lebih kapasiti kenderaan pula. Tak pasal-pasal kena saman dengan encik polis pula nanti.

Kongsi kenderaan juga pada masa sama menjimatkan tenaga dan petrol. Maklumlah, harga petrol sekarang pun boleh ‘tahan’ harganya.

Demikian antara lima tips ziarah yang EnGear dapat kongsikan kepada anda.

Apa yang penting terus patuh SOP dan amalkan norma baharu kerana kita belum menang dalam memerangi Covid-19.

Anda yang tidak dapat beraya di kampung halaman pula jangan terlalu bersedih.

Gunakan handphone canggih anda untuk berhubung dengan keluarga tersayang ya!

#SelamatHariRayaAidilfitri