Arkib Tag: kereta terbakar

Polis: Kes kereta terbakar di stesen minyak disyaki terlibat penyeludupan

POLIS mengesyaki insiden kebakaran sebuah kereta di stesen minyak dekat Rantau Panjang, Kelantan mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan petrol.

Pemeriksaan mendapati terdapat tong plastik terbakar disyaki digunakan untuk mengisi minyak seludup ke negara jiran.

Saksi kejadian yang juga pekerja stesen minyak mendakwa ternampak api menyala daripada bahagian bawah kereta itu ketika pemandunya sedang mengisi minyak.

“Api dikatakan telah merebak ke bahagian belakang kereta sebelum lelaki tersebut terus melarikan diri.

“Saksi memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir.

Pada Isnin, sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang.

Polis kini sedang mengesan suspek berusia 36 tahun berasal dari Kampung Lubok Gong untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kebakaran tersebut turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, harga bahan api yang murah menyebabkan berlaku penyeludupan bahan api ke negara jiran.

Justeru, pihak berkuasa meningkatkan pemantauan bagi mengelak insiden curi petrol terus berleluasa terutama di sempadan negara.

Kenderaan dijilat api ketika diisi minyak, pemandu cemas padam kebakaran

KES kenderaan terbakar ketika sedang diisi minyak acap kali berlaku di negara ini.

Terbaharu, tular di media sosial sebuah kenderaan terbakar ketika sedang diisi bahan bakar itu di sebuah stesen minyak.

Insiden dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah.

Menerusi video dimuatnaik pengendali akaun media sosial MyWatch di Twitter, kelihatan seorang lelaki sedang mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba kenderaannya dijilat api.

Cemas dengan situasi itu, lelaki terbabit dilihat segera mendapatkan alat pemadam api sebelum dibantu seorang penunggang motosikal serta beberapa petugas stesen minyak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kebakaran membabitkan kenderaan ketika sedang diisi minyak.

Antaranya termasuk sebuah insiden kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang terbakar ketika sedang diisi minyak di Bintulu, Sarawak pada tahun 2017.

Selain itu, seorang lelaki juga dilaporkan melecur anggota badan selepas disambar api ketika mengisi minyak di Seri Kembangan, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Menerusi laporan berita tempatan, insiden bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan malah, turut menyebabkan kenderaan miliknya musnah akibat dijilat api.