Arkib Tag: Kawasaki

Kawasaki perkenal Z900 SE di Eropah, miliki pelbagai ciri menarik

KAWASAKI telah memperkenalkan model baharu Z900 SE di pasaran Eropah.

Ia merupakan versi istimewa bagi model Z900 yang dihadirkan dengan pelbagai ciri istimewa khas buat pencinta motosikal jenis naked.

Mempunyai enjin empat silinder 948cc bersama kotak gear enam kelajuan, ia dapat menghasilkan kuasa 125PS pada 9,500 rpm dan 98Nm tork pada 7,700 rpm.

Sistem brek depan digunakan adalah jenis Brembo yang terdiri daripada set berkembar cakera 300 mm dan angkup M4.32 serta hos steel braided.

Pada bahagian brek belakang pula, model ini masih menggunakan unit cakera 250mm dengan angkup satu piston.

Foto ihsan Kawasaki

Z900 SE juga menggunakan suspensi belakang monoshock Ohlins S46 yang mempunyai tombol pengawal tahap pra beban.

Bagaimanapun, model ini masih dikekalkan dengan menggunakan fork 41mm boleh laras di bahagian hadapan.

Berikut spesifikasi lain terdapat pada model Z900 SE:

  • Penggunaan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED)
  • Skrin TFT 4.3 inci berwarna disambung kepada telefon pintar
  • Aplikasi Rideology
  • Empat mod tunggangan
  • Tiga tahap kawalan cengkaman KTRC

Berdasarkan maklumat diterima, Z900 SE mempunyai berat sekitar 213 kilogram dan hanya dijual dengan warna Metallic Spark Black/Candy Lime Green.

Foto ihsan Kawasaki

Kawasaki Z900RS SE 2022 facelift dengan warna baharu, suspensi Ohlins

DIPERKENALKAN buat kali pertama pada 2017, Kawasaki Z900RS SE telah dikemas kini bagi model tahun 2022 yang menyaksikan ia mendapat warna baharu dan yang lebih penting, penambahbaikan dalam aspek mekanikal.

Sudah tentu, perkara pertama yang akan mencuri perhatian anda adalah penampilannya. Sesuai dengan rekaan retro modennya, Z900RS SE kini didatangkan dalam skema warna dua tona ‘Yellow Ball’ yang diinspirasikan oleh warna ‘Fireball’ pada model Z1 keluaran tahun 1972.

Melengkapkan lagi imej baharunya adalah logo ‘RS’ berwarna merah pada panel sisi yang terletak di bawah pelana, kemasan hitam pada komponen enjin dan pelindung radiator, serta rim berwarna emas. Warna yang sama turut digunakan untuk menghiasi fork dan komponen suspensi belakang.

Bercakap tentang suspensi, Z900RS SE mendapat penyerap hentak belakang Ohlins S46 yang mempunyai ciri pelaras pramuat (preload adjuster), serta kebuk gas dan udara berasingan yang dikatakan mampu memperbaiki cengkaman dan pengendalian.

Pada bahagian hadapan pula, fork berukuran 41 mm kini bukan sahaja kelihatan lebih cantik dengan kemasan emas pada tiub luarannya, malah ia dikatakan mempunyai prestasi yang lebih stabil berbanding sebelum ini.

Selain itu, Kawasaki turut menaik taraf sistem brek dengan menggunakan pakej Brembo pada bahagian hadapan. Ia merangkumi cakera berkembar berukuran 300 mm dan angkup monobloc M4.32 yang dipadankan dengan radial-pump master cylinder Nissin dan kabel stainless steel.

Seperti sebelum ini, kuasa untuk Z900 RS dibekalkan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 983cc yang menghasilkan 111PS pada 8,500 rpm dan 98.5Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan.

Klac jenis Assist & Slipper yang digunakan bukan sahaja menjadikan tuil lebih ringan, malah menghalang roda belakang daripada terangkat apabila gear diturunkan dengan agresif.

Di samping ABS, model ini turut mempunyai ciri kawalan cengkaman (digelar Kawasaki TRaction Control atau KTRC) dengan dua mod berbeza yang menawarkan tahap cengkaman yang lebih sporti atau lebih selamat. Bagaimanapun, penunggang juga boleh mematikan sistem ini jika mereka mahu.

Setakat ini, Z900 RS SE diumumkan untuk pasaran Eropah sahaja dengan harga bermula dari £12,499 (kira-kira RM72,825) di United Kingdom.

Warna baharu Ninja ZX-25R di Indonesia, Malaysia masih jadi ‘penonton’

KAWASAKI meneruskan usaha ‘menawan’ pasaran permotoran negara jiran Indonesia dengan memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model Ninja ZX-25R.

Lima warna baharu termasuk Lime Green, Passion Red, Metallic Matte Graphene, Steel Grey dan Metallic Spark Black.

Bagaimanapun, Kawasaki mengumumkan tiada perubahan terhadap komponen lain termasuk enjin.

Ninja ZX-25R memiliki enjin empat silinder DOHC 249.8 cc dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan quickshifter sekaligus memberi kepuasan tunggangan menyeluruh.

Mengikut spesifikasi oleh Kawasaki, model ini mampu menghasilkan kuasa 51PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

Selain itu, antara spesifikasi menarik ada pada ZX-25R termasuk sistem mod tunggangan full dan low, cengkaman KTRC dan throttle valve elektronik.

Model Kawasaki Ninja ZX-25R menggunakan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. – Foto ihsan Kawasaki Indonesia

Keistimewaan lain Ninja ZX-25R

Model Ninja ZX-25R direka bagi tunggangan sporty sama seperti ‘saudaranya’ yang lain iaitu ZX-6R dan ZX-10R.

Sistem brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang.

Berikut antara perincian lain mengenai Ninja ZX-25R:_

• Penggunaan suspensi USD SFF-BP 37mm
• Monoshock Horizontal Back-link
• Berat keseluruhan 182 kilogram
• Tangki bahan api 15 liter

Setakat ini, masih belum ada tanda bahawa model ini akan memasuki pasaran Malaysia.

Hanya untuk pengetahuan anda, harga sebuah Ninja ZX-25R dijual pada harga bermula 98.95 juta rupiah atau bersamaan RM28,582 bagi varian asas.

Bagi model SE dan ABS, ia boleh mencecah sehingga 116 juta rupiah atau RM33,540.

Daftar nama E-boost, Kawasaki bakal lancar motosikal elektrik?

DESAS-desus Kawasaki bakal menghasilkan jentera elektrik terbaharu mula diperkatakan peminat motosikal seluruh dunia.

Spekulasi timbul susulan tindakan syarikat pengeluar motosikal itu menfailkan pendaftaran nama model baharu dikenali sebagai E-boost.

Sebelum ini, Kawasaki pernah menghasilkan sebuah prototaip motosikal elektrik dinamakan EV Endeavor.

Memetik laporan media, motosikal elektrik terbaharu Kawasaki bakal menerima beberapa suntikan daripada EV Endeavor.

Antara ciri-ciri dimaksudkan termasuk bateri, kotak gear manual dan butang Boost pada konsol kawalan tangan.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menjangkakan tarikh sebenar pelancaran motosikal elektrik ini.

Apa pun, kami di EnGear berharap acara pengenalan motosikal elektrik Kawasaki ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Ini kerana menjadi kebiasaan pendaftaran nama sesebuah model motosikal sebagai langkah akhir dalam proses pengeluaran jentera.