Arkib Tag: kasut sniker

Mercedes-Benz & adidas lancar kasut sniker edisi terhad Samba OG

Mercedes-Benz dan adidas meneruskan kerjasama yang terjalin menerusi pelancaran kasut sniker edisi terhad adidas Samba OG x Mercedes-Benz.

Kasut ini bakal tersedia di kedai dalam talian dan outlet terpilih adidas bermula 13 Oktober.

Kolaborasi ikonik dua jenama

Sniker ini pertama kali diumumkan Januari lalu ketika Mercedes-Benz memulakan sambutan “140 Years of Innovation” bersama pelancaran global S-Class baharu.

Dengan memilih Samba sebagai ikon gaya berdekad lamanya, kolaborasi ini meraikan warisan sukan adidas dan 140 tahun inovasi mobiliti Mercedes-Benz.

Ciri unik

adidas Samba OG x Mercedes-Benz ini tersedia dalam pilihan warna monokrom Magic Beige, Grey Five dan juga hitam.

Bahagian atas kasut ini menampilkan kemasan jahitan gaya berlian yang diinspirasikan daripada ruang kabin S-Class.

Tidak ketinggalan, kemasan logo bintang Mercedes-Benz menghiasi bahagian lidah kasut.

Buat masa ini harga jualan rasmi masih belum diumumkan.

Porsche umum kasut sniker eksklusif Turbo No. 1, Turbo 930, 150 unit terhad

Bersempena dengan sambutan ulang tahun model pertama 911 Turbo yang ke-50, Porsche memperkenalkan sehingga 12 rekaan kasut sniker untuk dimiliki.

Kesemua 12 rekaan kasut sniker itu dihasilkan menerusi kerjasama dengan pengeluar pakaian sukan Puma, dan dihadkan sebanyak 911 unit per model.

Sesuai dengan tema yang dibawakan, dua model daripada siri kasut sniker itu mempunyai kaitan sejarah dan diinspirasikan daripada rekaan ikonik model-model Porsche.

Rekaan sniker Turbo No. 1 dihasilkan berdasarkan model lagenda Porsche yang dipersembahkan kepada Louise Piëch semasa ulang tahun yang ke-70.

Menggunakan bahan kulit jenis full-grain, sniker Turbo No. 1 membawakan warna perak metalik di bahagian luar, diikuti dengan corak tartan merah/biru pada bahagian dalam, merujuk kepada kemasan kabin model pertama 911 Turbo.

Manakala rekaan sniker Turbo 930 pula merupakan satu penghormatan kepada model turbo Dr. Ferry Porsche dari tahun 1976.

Sniker Turbo 930 pula menggunakan bahan kulit nubuck yang ditampilkan dengan warna Oak Green Metallic, sementara kemasan dalaman kasut pula membawakan corak tartan hijau.

Untuk pasaran tempatan, kasut sniker Turbo No. 1 dan Turbo 930 dengan warna eksklusif polar blue boleh didapati bermula 29 Ogos 2024 di semua Porsche Centre dan dihadkan kepada 150 pasang sahaja.

Pembeli akan turut menerima tambahan set tali kasut serta beg sports hitam Porsche Puma eksklusif.