Arkib Tag: Kampung Baru

Tren LRT bertembung, 47 penumpang parah

DUA tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terlibat dalam satu kemalangan, malam ini.

Memetik laporan media insiden menyebabkan 47 penumpang parah manakala, 166 yang lain cedera ringan.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian melibatkan tren nombor 40 dan 81.

“Sila bertenang dan patuhi segala arahan. Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan.

“Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” memetik kenyataan itu.

Setakat berita ini dilaporkan, bantuan menyelamat masih diteruskan pasukan paramedik.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Maklumat awal mendapati kedua-dua tren berkenaan bertembung dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Insiden berlaku jam 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang rosak dan sedang dipandu uji.

Sementara itu, beberapa foto dan video tular di media sosial berhubung kemalangan tersebut.

Menerusi foto dan video tular, kelihatan beberapa penumpang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.

Berita lanjut berhubung kejadian ini akan dilaporkan dari masa ke masa.