Arkib Tag: jual semula

Pembeli Toyota Land Cruiser 2021 dilarang jual semula kenderaan mereka dalam tahun pertama

TOYOTA Land Cruiser kekal popular di beberapa pasaran dan generasi terbaharu LC300 telah pun memperoleh 22,000 unit pra-tempahan di Jepun. Tetapi, Toyota Jepun melarang pemiliknya di sana menjual semula Land Cruiser ini dalam tempoh setahun pertama.

Menurut majalah Jepun, Creative311, pembeli harus menandatangani satu surat perjanjian menunjukkan mereka bersetuju untuk tidak menjual semula Land Cruiser mereka itu.

Dikatakan pemilik tidak dibenarkan menjual semula Land Cruiser mereka dalam tempoh 12 bulan selepas dibeli, dan jika didapati melanggar perjanjian, mereka tidak akan dibenarkan membeli Toyota lagi. Serius betul, mengapa?

Ada beberapa sebab. Paling utama ialah Toyota mahu mengelakkan dari pemilik menjual semula ke pasaran lain yang popular dengan harga lebih tinggi. Toyota mahu SUV ini dibeli oleh mereka yang mahu betul-betul menggunakannya, jadi seorang pembeli hanya boleh beli satu unit Land Cruiser.

Toyota juga berkata, “Terdapat risiko ia mungkin melanggar undang-undang tukaran asing, dan bergantung kepada destinasi eksport, ia boleh menyebabkan masalah yang mengancam keselamatan global.”

Maksud tersiratnya ialah Toyota risau Land Cruiser ini akan digunakan oleh kumpulan pengganas, seperti terbukti pada versi lama yang mana SUV ini dan Hilux menjadi pilihan.

Maka sebab itu, pembeli di Jepun harus mengesahkan pembelian itu bukan bertujuan untuk eksport atau tujuan jualan semula.